Ekonomi

Pergiat Aktiviti R&D Ke Arah Mengaplikasikan Pembaharuan Sains Dan Teknologi

Kerajaan menyediakan RM423 juta di bawah MOSTI dan KPT bagi mempergiat aktiviti R&D ke arah mengaplikasikan pembaharuan yang selari dengan perkembangan sains dan teknologi.

Peruntukan ini termasuk RM295 juta kepada universiti awam untuk terus berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan kerjasama dengan industri.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Kerajaan juga akan menyediakan RM12 juta secara geran padanan melalui Collaborative Research in Engineering, Science and Technology dalam bidang seperti Gallium Nitride untuk diaplikasikan dalam LED dan kenderaan elektrik.

“Bidang fokus R&D ini disyorkan oleh Encik Tan dari Clarion Malaysia semasa sesi dialog saya bersama-sama tokoh industri Elektrikal dan Elektronik sebelum ini.

“Sejumlah RM30 juta akan disediakan bagi melaksanakan Hab Inovasi: Revolusi Industri Keempat di bawah Taman Teknologi Malaysia sebagai pusat sehenti untuk ekosistem inovasi dengan pembangunan kluster teknologi baharu muncul seperti dron, robotik dan kenderaan berautonomi.

“Hab ini dijangka memberi manfaat dan pendedahan kepada 10 ribu bakal usahawan,” katanya.

Zafrul juga berkongsi contoh kejayaan startup, Puan Goh Ai Ching dari Pulau Pinang yang pernah menerima geran Cradle Fund dan telah mengasaskan Piktochart, syarikat yang menyediakan perkhidmatan komunikasi visual melalui infografik menarik.

“Piktochart telah berjaya menembusi pasaran luar negara dan antara pengguna perkhidmatan mereka ialah Kerajaan Amerika Syarikat dan syarikat Disney.

“Antara infografik yang dipaparkan pada skrin di hadapan Yang Berhormat sekalian juga menggunakan perisian Piktochart,” katanya.

Bagi menggalakkan kejayaan seperti yang dicapai Piktochart, Cradle Fund sebagai agensi penyelaras ekosistem startup akan diperuntukkan 20 juta ringgit untuk mempergiat usaha memulih dan membina daya tahan ekonomi startup.

Selari dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (atau MyDIGITAL), strategi MyStartup akan dilaksanakan secara berfasa untuk memberi manfaat kepada lebih 2,500 syarikat dan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan.

“Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah 45 juta ringgit sebagai galakan transformasi teknologi ke arah revolusi industri keempat atau Industry4WRD dalam kalangan PKS serta syarikat tahap pertengahan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Bagi merancakkan inovasi, National Regulatory Sandbox di bawah MOF iaitu FUTURISE akan digiatkan lagi untuk menjalankan kajian industri dan mengesyorkan langkah melancarkan inovasi dalam masyarakat dan ease of doing business,” katanya. – SM

(Visited 589 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button