BeritaNasional

Lagi scammer dari China diberkas

IPOH  – Jabatan Imigresen Perak berjaya memberkas 65 lagi individu warga China yang terlibat dalam aktiviti atas talian menerusi serbuan di dua buah rumah tiga tingkat di Gerbang Maju Rapat di sini kelmarin.

Serbuan yang bermula antara pukul 3.30 hingga 5.30 petang itu menjadikan jumlah keseluruhan warga negara tersebut yang ditangkap di negeri ini berjumlah 105 orang.

Terdahulu pada Selasa lalu, 40 individu termasuk dua wanita diberkas di sebuah banglo mewah di Taman Tun Dr. Ismail di sini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sama.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan terbaharu itu, kesemua yang ditangkap termasuk empat wanita berusia antara 17 hingga 55 tahun.

Katanya, kesemua mereka dipercayai menjalankan aktiviti di atas talian di premis berkenaan sejak seminggu lalu.

“Dalam serbuan pertama, kita berjaya menahan seramai 35 orang warga China termasuk dua wanita manakala 30 lagi warganegara sama ditangkap menerusi serbuan di rumah kedua.

“Berdasarkan serbuan di dua buah premis itu, kita merampas beberapa barang termasuk 232 unit telefon bimbit, 45 unit komputer riba, 26 unit monitor komputer, 24 buah modem Internet tanpa wayar (WiFi), 140 keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), tujuh keping kad kredit dari China, mata wang pelbagai negara dan 47 kad pengenalan negara China,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Meru Raya di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail.

Menurut Khairul Dzaimee, pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada tangkapan yang dilakukan di Ipoh itu mempunyai kaitan dengan kumpulan yang berjaya diberkas di Cyberjaya pada 20 November lalu.

Katanya, ini berikutan penemuan resit-resit pembelian barangan keperluan harian dari beberapa buah pasar raya di Kuala Lumpur dalam tangkapan terbaharu itu.

“Tangkapan di beberapa buah negeri ini menjalankan kegiatan sama dan kita mengesyaki mereka menjadikan rumah sebagai markas ‘one stop centre’ yang mana berfungsi sebagai tempat tinggal, menjalankan aktiviti atas talian serta kegiatan tidak bermoral,” katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati kesemua yang ditangkap melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39(b) di bawah peraturan-peraturan imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal lebih masa.-PerakGazette

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button