MahkamahUncategorized

Siasatan kes Zahid paling singkat, berat sebelah – Peguam

Saksi kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu mahkamah siasatan berkaitan kes berkenaan hanya mengambil masa 11 hari sahaja.

Saksi pendakwa Mohd Zamri Abdul Rashid yang juga pegawai penyiasat SPRM bersetuju sebagaimana di dalam kenyataannya kepada mahkamah bahawa kes berkenaan disiasat pada 8 Oktober 2018 dan dibawa ke mahkamah pada 19 Oktober tahun yang sama.

Bekas timbalan perdana menteri itu berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan CBT melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Saksi turut bersetuju bahawa tempoh itu adalah yang paling singkat seseorang daripada disiasat sehingga dituduh.

Peguam bela Hamidi Mohd Nor sebelum itu menyoal Zamri sama ada siasatan itu dilengkapkan “dalam tempoh paling singkat.”

Katanya, Zamri dalam pernyataan saksinya berkata beliau ditugaskan untuk kes berkenaan pada 8 Okt 2018.

“Dan Datuk Seri didakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 Okt. Jadi kamu hanya mengambil masa 11 hari untuk menyiasat.

“Berdasarkan arahan anak guam saya, kami ingin menyatakan kes kami bahawa tuduhan berkenaan sebenarnya berat sebelah?”

Zamri menafikan perkara itu.

Hamidi kemudian berkata “tiada sesiapa pun akan memasukkan wang diterima hasil rasuah” ke dalam akaun bank mereka, dalam usaha menyangkal siasatan SPRM yang mengaitkan Zahid dengan syarikat-syarikat berkenaan.

Menurut kes pihak pendakwa, Zahid menerima rasuah daripada tiga syarikat sebagai imbuhan untuk memberikan mereka projek MyEG, antara 15 Julai 2016 dan 8 Feb 2017.

“Jumlah RM13.25 juta adalah ‘derma’ daripada tiga syarikat itu, Jogabonito Jewellery & Diamonds, Mastoro Kenny IT Consultant & Services, serta Berani & Jujur Trading kepada Yayasan Akalbudi,” kata peguam itu.

Yayasan Akalbudi adalah yayasan dimiliki Zahid.

“Saya tidak bersetuju,” kata Zamri.

Saya tidak setuju kerana siasatan bermula sejak Jun 2018 lagi, dan saya telah mengumpul bukti serta fakta yang diperlukan sehingga pertuduhan dibuat.

“Saya yakin siasatan dibuat berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh pada masa tersebut bukan bersifat berat sebelah. Kesemua cek (24 cek) asal dari tiga syarikat berkenaan diperoleh, selepas Ahmad Zahid didakwa kerana bank memerlukan masa untuk memberi cek asal itu dan hanya salinan (cek) diperoleh dahulu,” kata saksi pendakwaan itu.

Saksi juga mengesahkan ujian kimia gagal menentukan siapa yang menulis dan menandatangani cek-cek berkenaan.

Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung.

(Visited 478 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button