Luar NegaraMahkamah

Perbicaraan 1MDB: Ng tamak, nak nama

BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng menyertai rancangan global untuk menyeleweng berbilion dolar daripada 1MDB atas tujuan kegemilangan dan tamak.

Juri diberitahu demikian oleh pendakwa, Alixandra Smith dalam hujah penutup kerajaan semalam  pada perbicaraan rasuah 1MDB membabitkan Ng di luar negara.

Smith berkata, walaupun Ng meminta berpuluh juta dolar sebagai sogokan, dia juga berharap untuk menjadi rakan kongsi di Goldman Sachs Group Inc dengan membantu firma itu mengatur siri tawaran bon yang lumayan kepada 1MDB.

“Walaupun defendan meraih (pendapatan) berjuta-juta dolar setahun bekerja untuk Goldman Sachs, dia mahukan kegemilangan apabila naik menjadi rakan kongsi daripada (jawatan) pengarah urusan.

“Paling penting, dia mahu wang yang dijanjikan iaitu USD35 juta,” kata Smith.


Ng, 49, adalah satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal 1MDB yang menyaksikan bank itu membayar penalti lebih USD5 bilion.

Dia dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB apabila Goldman mengatur tiga perjanjian bon untuk dana itu pada 2012 dan 2013.

Ng didakwa atas dua tuduhan bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan satu tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram. Jika sabit kesalahan, dia mungkin akan dipenjarakan selama beberapa dekad.

Smith menunjukkan kepada juri carta dengan wajah sembilan individu yang didakwa berkomplot dengan Ng termasuk Leissner dan isteri mereka serta kakitangan 1MDB yang dikatakan mendapat sogokan.

Beliau berkata, carta itu menunjukkan bagaimana tindak-tanduk Ng “dikoordinasi” dengan individu lain yang menggunakan akaun bank luar pesisir dan akaun e-mel palsu untuk menyembunyikan rancangan itu dan dibayar lumayan oleh Jho Low.

“Defendan mahu anda percaya bahawa dia terbabit secara tidak sengaja, iaitu satu-satunya (individu) yang tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Namun semua keterangan menjelaskan (bahawa) semua yang dilakukan oleh defendan adalah selaras dengan tindakan semua individu yang berkomplot,” katanya.

Puluhan juta dolar dalam bentuk rasuah dibayar kepada pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi untuk mendapatkan perniagaan 1MDB untuk Goldman manakala Jho Low memberi sogokan kepada Ng dan Leissner untuk mengatur tiga perjanjian bon, kata Smith.

Leissner yang mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng memberitahu juri, dia meraih lebih USD60 juta dan membayar Ng lebih USD35 juta.

Smith memberitahu juri bahawa mereka boleh mengikut jejak wang dana yang dipindahkan daripada perjanjian 1MDB kepada syarikat yang dikawal Jho Low dan akhirnya kepada entiti luar pesisir yang dikawal oleh isteri Ng, Lim Hwee Bin.

Lim memberi keterangan bahawa USD35 juta yang dipindahkan ke akaun atas nama ibunya berkait dengan perjanjian perniagaan berasingan yang sah bersama isteri Leissner pada masa itu.

Dalam hujah penutupnya, Smith memberitahu juri bahawa e-mel dan keterangan lain membuktikan Ng dan isterinya mengawal dana tersebut, bukan ibu mertua Ng seperti yang dihujahkan oleh pembelaan. – SM

 

(Visited 48 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button