NasionalNegeri

Perbetul anggap wanita tempat kedua pembangunan negara – Raja Puan Muda

PERUMPAMAAN “Tangan yang menghayun buaian itu boleh menggegarkan dunia” menggambarkan betapa besarnya peranan kaum wanita di dalam pembangunan negara.

Sumbangan belakang tabir seorang wanita bukanlah sesuatu perkara kecil dan remeh malah membawa kepada pembangunan sebuah negara.

Wanita hari ini juga kian bergerak maju dalam pelbagai bidang merangkumi pendidikan, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.

Oleh itu, tanggapan sebahagian kecil masyarakat hari ini yang meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan haruslah diperbetulkan.


Demikian titah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas berkenan menyempurnakan sesi menandatangani surat-surat ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, ahli-ahli panelis, moderator serta ahli-ahli jawatankuasa utama di atas penglibatan dan komitmen dalam menjayakan Seminar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-14 bertajuk ”Wanita dalam Pembangunan Negara” yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama YTF secara ‘hybrid’ baru-baru ini.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen selaku Pengerusi YTF dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Penasihat DiRaja yayasan yang berpegang kepada moto ‘Women In Search Of Excellence’ berkenaan amat bersukacita atas kerjasama serta komitmen yang tidak terhingga diberikan khususnya oleh warga kerja DBP sendiri dalam menjayakan penganjuran program seminar sehari suntuk tersebut.

Raja Puan Muda turut menarik perhatian terhadap penglibatan wanita membangunkan negara secara aktif melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Melalui pertubuhan-pertubuhan inilah juga mereka boleh menyalurkan idea dan cadangan sama ada dari segi pendidikan, keagamaan, sosial, budaya dan ekonomi.

Selain itu, titah Baginda mereka boleh membantu membangunkan negeri dan negara dengan memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara. – SM

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button