fbpx
ParlimenPolitik

Perbahasan Belanjawan 2021: Saifuddin sindir DUN Kelantan

PENTADBIRAN Kerajaan Negeri Kelantan disindir dalam perbahasan Belanjawan 2021 hari ini susulan menaikkan gaji wakil rakyat dan exco kerajaan negeri.

Sindiran tersebut dibuat ketika pembukaan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 itu di Dewan Rakyat hari ini.

Kelantan disindir kerana menaikkan gaji wakil rakyat termasuk Menteri Besar, Timbalannya dan barisan exco ketika seluruh negara sedang berhadapan krisis.

Malah, pentadbiran negeri itu juga disindir kerana sebelum ini Kerajaan Pas membeli kereta baharu bagi kegunaan rasminya.

“Pertama, pernah berlaku waktu zaman Khalifah Umar Al-Khattab, Madinah mengalami cuaca kering yang panjang, rakyat hidup susah dan ketidakcukupan makanan.


“Khalifah Umar memerintahkan wilayah Islam lain yang tidak terkesan dengan masalah itu untuk membawa makanan ke Madinah.

“Kemudian didirikan central kitchen, masak makanan kemudian khalifah sendiri yang pergi mengagihkan makanan kepada rakyat.

“Dalam menguruskan bajet negara, Khalifah Umar berpendapat bahawa menguruskan kewangan negara tak ubah macam peredaran darah yang mengalir dalam sebatang tubuh.

“Kalau sekiranya tubuh terpotong darah keluar membuak-buak, nescaya lemahlah tubuh itu.

“Itu gambaran bagaimana menguruskan kewangan negara tak boleh ada unsur pembaziran, ketirisan, salah urus apatah lagi rasuah.”

Demikian kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di awal ucapan perbahasannya hari ini.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata demikian kerana mengimbau penganjuran sebuah seminar di Kelantan ketika berkhidmat di sana pada 2004 hingga 2007.

Beliau memetik kupasan isu dalam seminar tersebut yang membincangkan pentadbiran dua agamawan iaitu Khalifah Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz.

Saifuddin Nasution menyifatkan penganjuran seminar itu tidak dicontohi Kerajaan Negeri Kelantan sekarang, sedangkan ia dirasmikan oleh Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar ketika itu.

“Saya ungkap ini mengenang kembali seminar yang pernah saya ikut kendalikan dengan mengambil kupasan daripada dua agamawan dan ilmuan yang hebat.

“Yang sangat mempengaruhi cara berfikir dan bertindak saya dalam perjalanan sebagai orang politik yang tak lama, lebih kurang 30 tahun sahaja.

“Suatu ketika dikisahkan sewaktu beliau balik dalam perjalanan kebumikan khalifah terdahulu, maka pembantunya membawa kereta kuda baharu dan memintanya untuk naik.

“Dia kata untuk apa, ini memang kereta rasmi untuk khalifah. Dia kata saya takperlukan sebab saya sudah ada kereta.

“Mengambil pengajaran daripada peristiwa ini, kita dapati ketika negara dilanda masalah pemimpin sehebat Umar ini dia tak naikkan gaji itu yang utama.

“Yang kedua, dia tak tukar kereta baharu, sebab dia hendak ikut sama merasai derita rakyat,” katanya. – SM

(Visited 79 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button