Rencah Hidup

Hilangnya putera terbaik bangsa

PEMERGIAN Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid ditangsi negara kerana Malaysia telah kehilangan permata yang banyak berjasa kepada masyarakat.

Ungku Abdul Aziz disifatkan sebagai tokoh yang unggul dan amat disegani.

“Kita telah kehilangan sebutir permata yang berharga dalam dunia akademik di negara kita dengan pemergian Professor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid. Terlalu banyak jasanya kepada negara.
Al Fatihah,” kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Almarhum adalah putera terbaik bangsa. Dharmabakti dan sumbangsih Almarhum kepada bangsa sangat luar biasa dan akan dikenang selamanya. Almarhum telah membawa kesejukan kepada tanah air dan menjadikan ia lebih baik. Semoga Allah SWT menempatkan almarhum dikalangan para Solihin jua hendaknya, insha-Allah,” kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Allahyarham banyak menyumbang kepada negara dan segenap lapisan masyarakat. Bukan sahaja di sektor pendidikan dan akademik malah pembangunan sosio ekonomi kita. Setinggi-tinggi penghormatan kepada jasa dan sumbangan Allahyarham daripada kita rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Allahyarham banyak menyumbang kepada gagasan penting dalam pelbagai lapangan, antaranya pendidikan, ekonomi, pembasmian kemiskinan dan peranan besar yang dimainkan allahyarham di sebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).  Pengorbanan dan tunjuk ajar sewaktu berada di Universiti Malaya juga akan sentiasa tersemat utuh dalam jiwa saya,” kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Innalillahi Wainna Ilaihi Raji’un. Telah menerima pengkhabaran pemergian Prof Diraja Engku Abdul Aziz ke rahmatullah. Ia merupakan satu kehilangan besar kepada Malaysia,” kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

“Saya pernah menadah ketinggian ilmu beliau khususnya dalam bidang ekonomi dan kemasyarakatan. Satu kehilangan besar pada negara. Semoga roh Allaharaham Prof DiRaja Ungku Aziz tenang dipersemadian abadi dengan limpahan rahmat Allah SWT,” doa Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Allahyarham Ungku Abdul Aziz, 98 tahun, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Prince Court di ibu negara pada pukul 4.30 petang.

Allahyarham merupakan tokoh penting di sebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan.

Selain itu, beliau juga adalah seorang ahli ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada agama, bangsa dan negara. Beliau pernah memenangi Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV pada tahun 1993.-SM

 

(Visited 268 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button