Rencana

Perak kaya sumber tenaga boleh baharu

Oleh: Datuk (Dr.) Ir. Guntor Tobeng dan Dr. Mohd Syahriman Mohd Azmi

KERAJAAN Malaysia telah berusaha ke arah pembangunan teknologi tenaga boleh baharu (TBB) untuk penjanaan tenaga elektrik sejak tahun 2000 lagi. Pelbagai dasar, polisi dan inisiatif telah dirangka bagi membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Antaranya ialah Dasar dan Pelan Tindakan Kebangsaan Tenaga Boleh Baharu (NREPAP) yang telah diluluskan oleh Kabinet pada 2 April 2010.

NREPAP menyediakan matlamat jangka panjang dan komitmen yang memerlukan usaha sama daripada semua pihak yang berkepentingan untuk mencapainya. Polisi ini membentuk halatuju untuk meningkatkan penggunaan sumber TBB bagi menyumbang ke arah jaminan bekalan elektrik nasional dan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan.

Guntor Tobeng

Polisi Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan pula digubal untuk meningkatkan sumbangan TBB dalam campuran penjanaan tenaga elektrik negara, memudahkan pertumbuhan industri TBB, memastikan kos penjanaan TBB yang munasabah dan memulihara alam sekitar bagi generasi akan datang. Visi utama polisi ini ialah untuk mencapai 20% kapasiti campuran bagi TBB menjelang 2025.

Negeri Perak merupakan negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Pahang. Keluasan negeri Perak adalah 6.4% daripada jumlah keluasan Malaysia. Anggaran saiz keluasan tanah negeri ini ialah 20,976 kilometer persegi.


Bancian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020 mendapati anggaran jumlah penduduk di negeri Perak adalah seramai 2.5 juta orang dan kepadatan penduduk ialah 120 orang per kilometer persegi.

Sejarah membuktikan negeri Perak sangat dikenali kerana mempunyai hasil bumi yang banyak dan industri perlombongan biji timah. Negeri ini juga amat kaya dengan sumber TBB iaitu hidro, solar, biojisim, biogas dan geoterma yang berpotensi untuk dimajukan.

Mengikut rekod yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) menunjukkan penjanaan tenaga elektrik tahunan untuk projek-projek TBB di negeri Perak adalah sebanyak 304.27 gigawatt jam (GWj) pada akhir tahun 2018. Ini membolehkan ia berada pada kedudukan keempat di belakang negeri Sabah, Selangor dan Pahang.

Mohd Syahriman Mohd Azmi

Tenaga hidro adalah salah satu sumber tenaga tertua bagi manusia. Teknologi ini telah digunakan selama lebih dari 100 tahun dan terbukti boleh dipercayai untuk menyediakan bekalan elektrik yang berterusan.

Sungai merupakan komponen penting dan nadi utama dalam pembinaan empangan hidroelektrik. Sungai menggunakan graviti untuk menjalankan fungsinya terhadap empangan hidroelektrik tanpa henti.

Sungai-sungai di negeri Perak amat sesuai untuk pembinaan empangan hidroelektrik yang cekap. Oleh itu, banyak stesen janakuasa hidroelektrik telah dibangunkan di negeri ini.

Menyingkapi sejarah, Stesen Janakuasa Chenderoh merupakan stesen janakuasa dan empangan hidroelektrik tertua di Malaysia yang siap dibina sepenuhnya dalam tahun 1930 oleh Kerajaan British. Stesen Janakuasa Chenderoh ini berkapasiti 41 megawatt (MW).

Selain itu, Stesen Janakuasa Sungai Piah (69 MW), Stesen Janakuasa Bersia (72 MW), Stesen Janakuasa Kenering (120 MW) dan Stesen Janakuasa Temenggor (348 MW) merupakan stesen janakuasa berkapasiti besar yang telah berjaya dibina.

Terdapat juga stesen janakuasa hidro berkapasiti kecil (mini) seperti Stesen Janakuasa Sungai Slim (6 MW) dan beberapa projek lagi yang sedang dalam pembinaan.

Kedua ialah sumber dan teknologi tenaga solar yang amat meyakinkan dan bebas karbon. Negeri Perak telah menjadi pilihan untuk pembangunan ladang solar berskala besar (LSS). Sebagai contoh, terdapat dua projek LSS yang telah beroperasi iaitu LSS Bidor berkapasiti 30 MW dan LSS Sungai Siput berkapasiti 49 MW.

Ladang solar berskala besar milik Gading Kencana di Bidor, Perak.

Menjelang 2023, dianggarkan sebanyak 542 MW panel solar fotovoltan (PV) akan dipasang di seluruh negeri Perak.

Selain itu, banyak kawasan tasik dan bekas lombong di Perak yang boleh diterokai dan digunakan sebagai kawasan ladang solar terapung. Ia akan memberi nilai tambah kepada kawasan tersebut secara mampan dan inklusif.

Seterusnya, negeri ini mempunyai banyak kawasan perladangan dan pengilangan kelapa sawit. Kerajaan Negeri Perak boleh mempergiatkan lagi usaha sama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Sime Darby untuk membangunkan stesen janakuasa biojisim yang menjana tenaga elektrik menggunakan sumber tandan buah kosong (EFB) dan bahan buangan sawit.

Kerajaan Negeri Perak, pihak berkuasa tempatan dan syarikat swasta juga disaran untuk membangunkan projek pembinaan tapak pelupusan sampah berkonsepkan sisa kepada tenaga (WTE) yang dikenali sebagai tenaga biogas.

Sistem janakuasa ini menggunakan kaedah pencernaan anaerobik bagi penghasilan biogas yang kemudiannya akan ditukarkan kepada tenaga elektrik. Ia sebagai alternatif bagi mengatasi masalah tapak pelupusan sampah, sisa buangan domestik dapat dilupuskan dengan cara yang lebih bersih dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Negeri Perak juga kaya dengan kawasan mata air panas. Kawasan-kawasan mata air panas ini telah dibangunkan sebagai pusat pelancongan dan rekreasi seperti di Sungai Klah, Sungkai dan Lubuk Timah, Simpang Pulai. Mata air panas ini berpotensi sebagai sumber utama penjanaan kuasa tenaga geoterma.

Kolam air panas di Slim River

Kajian oleh penyelidik-penyelidik dari Jabatan Mineral dan Geosains, SEDA dan universiti-universiti mendapati kawasan Ulu Slim, Slim River berpotensi besar dibangunkan stesen janakuasa tenaga geoterma. Analisis geologi, geofizik, geokimia dan pemodelan mendapati terdapat enam kluster takungan geoterma yang telah dikenalpasti dengan anggaran potensi kapasiti penjanaan tenaga elektrik antara 2.6 hingga 90.2 MW.

Oleh itu, semua pihak mempunyai peranan yang penting bagi merancang, mereka bentuk sistem dan membangunkan janakuasa tenaga elektrik masa hadapan untuk negeri Perak.

Bekalan elektrik daripada lima jenis sumber TBB ini akan meningkatkan usaha ke arah teknologi hijau yang lebih mampan, lestari dan rendah karbon. Dengan adanya pelbagai sumber TBB ini juga, ia akan menjadi pemangkin pembangunan dan memacu kemajuan negeri Perak. – SM

Datuk (Dr.) Ir. Guntor Tobeng ialah Profesor Adjung di Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. manakala Dr. Mohd Syahriman Mohd Azmi ialah Pensyarah Kanan di FSM, UPSI.

(Visited 1,812 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button