Agama

Penyumbang zakat adalah adiwira – Raja Muda Perlis

‘Setiap penyumbang zakat merupakan “Adiwira tidak didendang” yang merupakan tulang belakang dan kekuatan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam melaksanakan segala amanah kutipan dan agihan zakatnya’.

Tambah mencabar ialah apabila negeri dan negara malah seluruh dunia kini berdepan suasana pandemik Covid-19 yang mana kita dapat menyaksikan ramai dari kalangan masyarakat yang terkesan dari segi ekonomi serta juga sosial dan memerlukan bantuan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Penghargaan Penyumbang Zakat Pendapatan MAIPs 2020’ yang diadakan di Masjid Al-Maghfirah Pauh Sanglang pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Hadir sama ialah AMMK Negeri yang juga ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob dan ADUN Sanglang Hj Mohd Shukri Ramli.


Terdahulu, Mohd Nazim dalam ucapan alu-aluan beliau memaklumkan bahawa program berkenaan dilaksanakan sebagai menghargai para penyumbang zakat pendapatan di bawah Skim Potongan Gaji Secara Bulanan melalui MAIPs.

‘Walaupun majlis tersebut dilaksanakan secara skala sederhana, namun ianya mempunyai makna yang begitu mendalam betapa MAIPs sentiasa menghargai mereka yang sentiasa bermurah hati menghulurkan sumbangan zakat mereka untuk dikongsi bersama golongan asnaf yang memerlukan’.

Pada kali ini beberapa agensi dan organisasi dipilih sebagai yang terbaik bagi beberapa kategori. Antaranya ialah Hospital Tuanku Fauziah (Jabatan), Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi (Sekolah Menengah), Sekolah Kebangsaan Kuala Perlis (Sekolah Rendah), Universiti Malaysia Perlis (Institusi) dan Global E Technic Sdn Bhd (Syarikat Swasta).

Di majlis yang sama turut diadakan ialah penyerahan sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah masjid tersebut oleh baginda.

(Visited 31 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button