BeritaPendidikan

Perjuangan seorang pensyarah dalam membina negara bangsa

Dr. Ruzaimi Mat Rani, pernah bertugas sebagai pensyarah, sebelum memutuskan untuk meneruskan perjuangan ayahnya iaitu membina negara bangsa.

Sebagai anak anggota keselamatan beliau biasa melihat pengorbanan ayahnya dan rakan sepasukan.

Mereka mengorbankan jiwa bahkan raga juga jadi taruhan. Ada yang pulang kaki hancur berkecai bertempur dengan pengganas komunis.

Sebagai anak muda Ruzaimi terkejut apabila 20 tahun lalu Allah bukakan mindanya untuk mendalami ilmu visual melalui lakaran yang menjadi asas kepada komunikasi berkesan dan inovasi.

Sedangkan kemahiran melukis dan melakar dipandang remeh oleh masyarakat, bahkan tidak disedari pentingnya perkara itu oleh kerajaan sendiri.

Hasilnya kita menjadi masyarakat pengguna dan bukannya negara yang mencipta produk dan sebagainya.

Kerajaan mahu melahirkan masyarakat yang inovasi, tetapi asas melukis dan melakar sangat lemah.

Sampai ke tahap dewasa ini banyaj profesional sendiri tidak mahir membuat lakaran kerana terlalu bergantung kepada aplikasi yang kononnya memudahkan kerja, tanpa mereka sedari mereka termasuk dalam golongan “tiruvasi” dan bukan inovasi.

Ruzaimi boleh sahaja memilih untuk meneruskan kerjaya sebagai pensyarah dan pada masa yang konten lakaran dan lukisan yang diletakkan di YouTube mendapat tontonannya tinggi, sekaligus menjana pendapatan pasif.

Bagaimanapun beliau mempunyai visi yang lebih besar mahu menjadikan kemahiran lakaran sebagai agenda nasional.

Selepas 20 tahun berjuang, kini semakin menampakkan sinarnya. Selain berjaya melatih ribuan orang dari pelbagai lapisan masyarakat, Ruzaimi juga berjaya melangkah setapak lagi bagi melahirkan usahawan di dalam bidang berkenaan dengan memperkenalkan Usahawan Tutor Online (UTO).

Yayasan Wiba Prima dengan kerjasama Drawzania dan Xperts merancang untuk melahirkan 2,000 UTO menjelang 2024.

Sebelum bergelar usahawan, mereka ini akan menerima latihan menerusi kemahiran ‘Freehand Visualisation Skills (FVS)’ yang dilatih oleh Drawzania.

FVS adalah satu kemahiran yang sangat penting untuk menjadikan seseorang itu lebih kreatif dan inovatif.

Pengerusi Yayasan Wiba Prima, Datuk Dr. Kamilia Ibrahim berkata beliau merancang untuk menubuhkan akademi khusus bagi mengajar kemahiran tersebut.

Dalam pada itu Ruzaimi berkata, beliau yakin program UTO dapat menjana pendapatan kepada usahawan selain mewujudkan komuniti kreatif dan inovasi.

Katanya, sehingga kini, sudah ada usahawan yang telah berjaya menjana pendapatan sehingga empat angka sebulan hasil menganjurkan kelas FVS.

“Saya percaya tanpa kemahiran ini, daya kreativiti dan inovatif seseorang tidak akan dapat dicapai secara optimum,” katanya.

Ujarnya, beliau mempunyai rancangan yang besar untuk membudayakan kemahiran FVS dalam masyarakat kerana ia pendekatan penting dalam mencorak negara pada masa depan.

“Program tersebut bertujuan melatih peserta menjadi usahawan kelas melukis berjenama sendiri secara dalam talian dan fizikal.

“FVS adalah sangat penting dalam menjana idea-idea kreatif dan inovatif dalam semua subjek, malah kemahiran ini juga berkait rapat dengan komunikasi visual,” katanya.

Semoga usaha pelbagai pihak ini membuka mata kerajaan betapa penting kemahiran yang semakin pupus dihidupkan semula di dalam masyarakat negara ini, untuk manfaat generasi akan datang dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang inovatif.

 

(Visited 416 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button