Politik

Hayat kerajaan Muhyiddin bakal berakhir lima hari lagi

Perhimpunan Agung UMNO yang lalu telah memutuskan menyerahkan kepada Presiden untuk menentukan langkah seterusnya selepas lebih 3 juta ahli parti itu menyatakan hasrat enggan bekerjasama dengan Bersatu.

Justeru mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijadualkan pada Ahad ini, dijangka membincangkan waktu sesuai untuk mengadakan pemilihan parti dan penarikan sokongan UMNO kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sumber Umno memberitahu FMT, perkara paling utama dalam agenda mesyuarat itu adalah pemilihan parti yang kini menjadi perbualan hangat di dalam dan luar parti.

MKT akan berbincang sama ada “pemilihan parti diadakan tahun ini atau tidak. Jika keadaan pandemik Covid-19 belum reda, pemilihan dijangka diadakan selewat-lewatnya Disember tahun depan,” kata sumber itu.

Sumber itu juga berkata, MKT akan berbincang mengenai waktu sesuai untuk Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan PN.

“Mengenai isu menarik semula sokongan terhadap PN, saya tidak menolak kemungkinan perkara itu akan dibangkitkan pucuk pimpinan tertinggi, (iaitu) sama ada (UMNO) mahu kekal menyokong (PN) sehingga darurat tamat atau tarik sokongan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana ada pihak tertentu dalam parti yang mahukan UMNO menarik balik sokongan sebelum tempoh darurat tamat pada 1 Ogos dan tidak menunggu sehingga Parlimen dibubarkan untuk PRU15.

Utusan Malaysia turut melaporkan perkara yang sama dan turut memetik sumber.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, setakat ini belum memberikan sebarang petanda bila pilihan raya umum akan diadakan. Beliau cuma menegaskan pandemik Covid-19 harus terkawal sebelum pilihan raya boleh diadakan.

Hari ini pula tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Muhamad Sabu dan Khalid Samad telah mengadap Yang di-Pertuan Agong supaya proklamasi darurat ditarik semula.

Gesaan itu dibuat setelah melihat kegagalan kerajaan hari ini dalam menangani pandemik Covid-19 dan menguruskan ekonomi negara dalam keadaan getir ini.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, pada perhimpunan agung Umno bulan lalu berkata, perwakilan memberikan mandat untuk parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN pada bila-bila masa.

Zahid yakin apabila UMNO keluar daripada kerajaan PN, pemimpinnya yang menjadi menteri dan menyandang jawatan kanan lain dalam kerajaan, akan mendukung keputusan berkenaan serta meletak jawatan.

Zahid juga dalam hantaran ke Facebooknya berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk melaksanakan apa yang dimahukan oleh akar umbi.

Beliau tahu suara-suara mendakwa kononnya Presiden UMNO melakukan kesilapan kerana terlalu mengikut kehendak akar umbi.

Menurut Zahid, suara-suara mendakwa pandangan lebih 3.3 juta akar umbi parti jangan galak dituruti kerana mereka kurang arif apa yang terbaik untuk UMNO.

“Suara dari luar parti itu berfikiran kerana terlalu mengikut kemahuan akar umbi maka UMNO terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

“Tidak. UMNO tidak begitu. UMNO tidak sesekali akan mengabaikan akar umbinya. Akar umbi UMNO yang membentuk parti keramat ini.

“Akar umbi ‘stakeholder’ utama UMNO. Pimpinan UMNO wajib menjaga kepentingan jutaan ahlinya di seluruh negara,” kata Zahid.

Ini juga bermaksud menterjemahkan apa yang dipersetujui terbaik oleh para akar umbi UMNO untuk parti ini.

Presiden UMNO sedar jika peperangan dikatakan dimenangkan oleh para perajurit, maka akar umbi UMNO adalah para prajurit parti ini.

Seramai 3,359,368 perajurit UMNO di 191 bahagian dan 21,883 cawangan di seluruh negara akan terus dihormati dan dilindungi kepentingan mereka oleh pucuk pimpinan parti.

(Visited 2,332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button