NasionalNegeri

Perlis wajar promosi budaya, makanan, alam semula jadi tarik pelancong Jepun – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar negeri Perlis wajar cuba mempromosikan pengalaman mempelajari budaya, cara hidup masyarakat setempat, kepelbagaian makanan serta alam semulajadi untuk dipromosikan kepada pelancong dari negara Jepun yang datang ke Utara negara Malaysia selepas ini.

Walaubagaimanapun, aspek keselamatan serta kebersihan mestilah sentiasa dititikberatkan kerana ia difahamkan merupakan antara faktor utama pelancong Jepun membuat keputusan untuk memilih mana-mana destinasi pelancongan yang akan mereka kunjungi.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dititahkan oleh Baginda selepas penyerahan sumbangan zakat MAIPs kepada Masjid As-Salaam Okachimachi di Taito, Taito-ku, Tokyo, sempena keberangkatan Baginda ke Jepun semalam.

Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs memberikan kesempatan kepada Timbalan Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Tokyo, Ahmad Junaidy Yahaya yang juga seorang anak jati kelahiran Jejawi, Perlis bagi menyampaikan sumbangan MAIPs tersebut kepada Pegawai Pentadbir As-Salaam Foundation, Marjuk San yang menerima bagi pihak masjid berkenaan.

Berangkat sama ke negara matahari terbit itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Menurut Ahmad Junaidy, pihak Pejabat Tourism Malaysia di Tokyo sedang mempergiatkan usaha mempromosi negara kita di pasaran Jepun dengan mempelbagaikan lagi aktiviti dan pengalaman yang boleh dinikmati oleh pelancong mereka apabila berkunjung ke Malaysia.

Menurut beliau, langkah pemulihan pasaran sedang giat dilaksanakan bagi mengembalikan keyakinan pasaran Jepun untuk kembali memilih Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan utama.

Terang Ahmad Junaidy lagi, antara destinasi pilihan utama pelancong Jepun apabila bercuti di Malaysia sebelum ini adalah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi dan juga Sabah.

Oleh itu negeri Perlis boleh turut dipromosikan khususnya kepada pelancong Jepun yang berhasrat datang ke Pulau Pinang dan Langkawi bagi menyahut titah saranan Tuanku Raja Muda.

Untuk rekod, Jepun merupakan pasaran pelancong utama Malaysia.

Pada 2019 pasaran Jepun menyumbang sejumlah 424,694 orang pelancong ke Malaysia dengan jumlah pendapatan sebanyak RM2.2 juta, iaitu peningkatan sebanyak 7.6 peratus bagi jumlah ketibaan pelancong dan 36.2 peratus bagi jumlah pendapatan pelancong berbanding tahun sebelumnya iaitu 2018.

Wabak yang melanda dunia telah turut memberi kesan besar pada pasaran Jepun.

Sehingga Jun 2022, negara Jepun telah mencatatkan 8,530,737 kes Covid-19 dengan 30,645 kematian.

Beberapa siri ‘State of Emergencies’ bagi mengekang penularan Covid-19 telah memberi kesan langsung kepada ekonomi Jepun. – SM

(Visited 231 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button