Hiburan

Rayuan bekas suami Ziana Zain pada 15 September

Armin Zaharin disabitkan kesalahan, hukuman penjara 8 bulan

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam akan mendengar rayuan bekas penyanyi popular tanah air, Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang membuat permohonan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan ke atas dirinya kerana didapati bersalah merotan tangan anak lelaki pasangan itu. Kes akan didengar pada 15 September ini.

Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar berkata, rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

“Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan selaku responden dan perayu (Armin Zaharin) memfailkan hujahan masing-masing pada atau sebelum tarikh pendengaran,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Armin Zaharin, Amir Farid Mohd. Nawawi mengesahkan kes rayuan akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Armin Zaharin, 56, bekas pramugara syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Tinggi pada 4 Januari lalu terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada 28 September tahun lepas.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya yang berumur sembilan tahun (ketika kejadian) dengan menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam, Selangor.

Kejadian berlaku antara pukul 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Februari 2018.

Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Armin Zaharin ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 53, atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zin membuat laporan polis pada 27 Februari 2018 berhubung insiden yang berlaku.

Rumahtangga yang dibina oleh Ziana dan Armin Zaharin tidak dapat bertahan dan pasangan ini berpisah dengan Armin Zaharin melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki dan seorang perempuan, berumur dalam lingkungan 11 hingga 20 tahun. – BERNAMA – SM

 

(Visited 1,143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button