MahkamahNasional

Penyelidik bebas kepada Wan Saiful mengaku tak bersalah gagal hadir ke SPRM

Shafiq Abdul Halim didakwa mengikut Seksyen 48(c) Akta SPRM

SEORANG penyelidik bebas kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan gagal hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap beliau.

Shafiq Abdul Halim didakwa mengikut Seksyen 48(c) Akta SPRM, di mana dia dituduh tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pegawai SPRM, Shahidan Saparudin untuk hadir ke pejabat anti rasuah untuk direkodkan keterangannya.

Menurut laporan FMT, kesalahan itu didakwa berlaku pada 3 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, Shafiq boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Hakim Suzana Hussin membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Shafiq menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sementara menunggu kes selesai.

Mahkamah menetapkan 7 April ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib menggesa mahkamah mengeluarkan perintah larangan atau gag order terhadap Shafiq bagi menghalangnya daripada membuat sebarang kenyataan mengenai kes mahkamahnya.

Bagaimanapun, peguam Shafiq, Chetan Jetwani membantah permohonan perintah gag itu berkata, perintah yang diminta oleh pihak pendakwaan adalah terlalu kabur.

Suzana kemudiannya memberitahu pihak pendakwaan untuk memfailkan permohonan rasmi bagi perintah larangan itu.

Untuk rekod, minggu lalu, Shafiq ditahan SPRM kerana didakwa menghalang siasatan.

Penahanan Shafiq dibuat selepas dia mendakwa dalam video Tiktok, SPRM menawarkan Wan Saiful RM10 juta untuk mengubah kenyataannya kepada pihak berkuasa dan mengaitkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes rasuah.

Shafiq kemudiannya memohon maaf kepada SPRM mengatakan dia telah “tersalah cakap” dan mendakwa video TikTok itu telah disunting oleh cybertroopers Pakatan Harapan (PH).

Wan Saiful merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor dibicarakan bulan lepas atas dua pertuduhan rasuah berhubung program Jana Wibawa. – SM

 

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button