Nasional

Penyelesaian dua negara, elakkan Palestin terus ditindas Israel

Sebuah negara Palestin yang berdaulat perlu dibentuk bagi mengelakkan rakyat negara itu terus ditindas oleh Israel.

Timbalan Menteri Perpaduan Datuk Seri Ti Lian Ker berpendapat, cadangkan penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967 merupakan jalan damai terbaik kepada Palestin dan Israel.

Lian Ker berkata, beliau faham ramai yang menyokong warga Palestin untuk menawan balik tanah air mereka tanpa syarat. Beliau turut bersetuju apa yang telah dirampas Israel haruslah dipulangkan dengan sepenuhnya.

“Bukanlah tujuan sebenar kita untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara apatah lagi dengan kekejaman mereka yang tiada hati perut.

“Tetapi untuk tujuan yang lebih pragmatik dan demi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah yang berterusan di mana kanak-kanak dan wanita Palestin yang akhirnya terus menjadi mangsa.

“Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan Najib Razak juga antara figura politik tanah air yang turut mencadangkan two state solution ini sebagai jalan damai terbaik kepada Palestin dan Israel,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, keamanan di Malaysia boleh menjadi model dan rujukan terbaik bagi mencapai keamanan di wilayah terbabit.

Menurut Lian Ker, demi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah mereka yang tidak berdosa dan mencari penyelesaian di Palestin dan Israel dunia perlu melihat kepada pembentukan Malaysia atas semangat tolak ansur, kesederhanaan dan kemajmukan.

Katanya, langkah pertama ke arah pembentukan satu negara berdaulat adalah dengan pemberian hak kewarganegaraan diberikan kepada semua warga Palestin dengan syarat semua warga Palestin yang telah diusir dibenarkan pulang ke pangkuan tanah Palestin.

“Orang Yahudi dan Palestin, seperti di Malaysia, dibenarkan untuk menuntut mengikut bahasa ibunda, diberikan kebebasan beragama, dan sebagainya. Semua agama mencintai keamanan dan bertoleransi. Orang Yahudi sepatutnya meletakkan konsep keamanan ini melebihi konsep Zionis yang boleh dianggap sebagai mementingkan diri sendiri.

“Pendekatan dan penyelesaian perbezaan dan konflik yang berjaya melalui pengalaman pembentukan Malaysia harus diteladani. Walaupun tanah air kita mempunyai jurang dan isu keagamaan serta perkauman yang lebih besar namun ia dapat diatasi dengan adanya solusi perpaduan dalam kepelbagaian,” tambah beliau.

Lian Ker berkata, beliau memohon maaf jika pandanganya itu menyinggung sensitiviti atau emosi mana-mana pihak.

Namun seperti mereka yang berjuang mempertahankan Palestin, beliau juga terseksa melihat nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa terbunuh, khususnya kanak-kanak dan wanita kerana sudah sekian lama pencerobohan Israel tidak ditangani dengan penyelesaian yang muktamad.-SM

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button