Nasional

Ini juga turut menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19

POLIS menumpaskan satu sindiket pemalsuan slip saringan COVID-19 yang didalangi warga Pakistan.

Bernama melaporkan kegiatan itu terbongkar apabila dua lelaki warga Pakistan ditahan pada 20 Jan lepas ketika mengemukakan slip saringan COVID-19 mencurigakan di kaunter daftar masuk bagi penerbangan ke Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, yang membawa kepada penahanan individu lain serta dalang sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman berkata sindiket yang dikenali sebagai “Geng Habib” itu dipercayai beroperasi sejak Ogos lepas dan hanya membabitkan kira-kira 50 pelanggan warga Pakistan.

Beliau berkata warga asing itu mengambil jalan mudah untuk mendapatkan slip saringan yang dijamin negatif walaupun terpaksa membayar RM300 semata-mata untuk balik ke negara asal.

“Mereka ambil jalan mudah kerana takut jika keputusan (saringan) positif dan tidak dapat balik ke negara masing-masing,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Susulan penahanan dua warga Pakistan berumur 28 dan 37 tahun di KLIA pada 20 Jan itu, polis menahan antaranya seorang lelaki warga Pakistan di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru berkaitan kes berkenaan dan siasatan lanjut membawa kepada penahanan dalang berumur 27 tahun di Sri Petaling, Kuala Lumpur, Isnin lepas.

Menurut Imran, dua lagi lelaki warga Pakistan turut ditahan di KLIA pada 23 Jan lepas ketika mendaftar masuk di kaunter penerbangan dengan slip saringan COVID-19 mencurigakan.

“Ditegaskan hasil siasatan setakat ini kita tidak jumpa penglibatan daripada klinik swasta atau kerajaan,” katanya.

Semakan terhadap slip saringan palsu yang menggunakan nama dua makmal ujian dan sebuah hospital swasta mendapati makmal dan hospital berkenaan wujud tetapi tiada rekod slip saringan COVID-19 dikeluarkan mereka kepada pelanggan sindiket itu.

Menurut Imran, antara barangan yang dirampas ekoran penahanan beberapa warga Pakistan sejak 20 Jan lepas adalah wang tunai RM13,500, 12 slip saringan palsu, dua mesin cetak, satu komputer riba dan tiga rantai emas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 465/471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Imran meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai  pihak yang cuba memalsukan slip saringan agar dapat menyalurkan maklumat kerana ia boleh membahayakan penumpang dan petugas lain. – BERNAMA

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button