Hiburan

Penyanyi Gadis Sentimental, Sheqal Meninggal Dunia

DUNIA seni tanah air kehilangan seorang lagi permata apabila penyanyi legenda era 80-an, Sheqal, atau nama sebenarnya Shaharin Salehuddin, meninggal dunia pada usia 60 tahun di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, tengah hari tadi.

Menurut isterinya, Normah Mohd Yusoff, arwah dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun lalu sebelum ditidurkan dua hari kemudian akibat komplikasi kesihatan. Sepanjang tempoh rawatan, beliau berada di sisi arwah dan memaklumkan pemergian suaminya berlaku dalam keadaan yang tenang.

“Sheqal menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12:31 tengah hari dengan ditemani saya dan anak-anak. Kami reda dengan ketentuan ini,” ujar Normah ketika dihubungi media.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave, turut hadir memberi sokongan dan memaklumkan bahawa pihak yayasan akan membantu menguruskan proses pengebumian serta memberi sumbangan bagi meringankan beban keluarga.

Sheqal meninggalkan seorang isteri dan empat cahaya mata – dua lelaki hasil perkahwinan terdahulu bersama pelakon Raja Ema, dan dua perempuan bersama Normah.

Sepanjang karier seni, Sheqal dikenali menerusi lagu-lagu hits seperti Gadis Sentimental dan Memori Luka, yang memperlihatkan kekuatan vokalnya dan penghayatan mendalam dalam setiap persembahan. Gaya nyanyiannya yang penuh emosi menjadikan beliau antara figura ikonik dalam landskap muzik tempatan.

Jenazah Allahyarham dijadualkan dibawa pulang ke kampung halamannya di Raub, Pahang untuk dikebumikan.

Pemergian Sheqal bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga dan rakan artis, tetapi turut menyentuh hati para peminat yang membesar dengan karya-karyanya.

Al-Fatihah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button