HaiwanNasional

Harimau Malaya simbol Jata Negara tidak akan dibiarkan pupus – PM

6 pendekatan strategik dirangka MyTTF

PENUBUHAN National Tiger Conservation Task Force (MyTTF) merupakan kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya. Ia menjadi platform rundingan bagi dasar, perundangan dan strategi negara untuk konservasi Harimau Malaya dan habitatnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian dalam mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya atau MyTTF hari ini.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, MyTTF bersetuju dengan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun (2021 hingga 2030) melalui enam pendekatan berikut:

(i) Rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti Orang Asli.

(ii) Pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram.

(iii) Meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040 selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat.

(iv) Memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah PERHILITAN, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM, dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai centre of excellence bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya.

(v) Memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation yang sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.
(vi) Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik.

Beliau berkata, Kerajaan serius menangani isu populasi Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni di hutan negara yang kini direkodkan kurang daripada 150 ekor.

Katanya lagi, antara lain populasi haiwan ini semakin kurang disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram selain penularan virus canine distemper.

“Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah dipinda dan diluluskan oleh Parlimen pada 21 Disember 2021 untuk meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

“Melalui pindaan tersebut, denda maksimum telah ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun supaya dapat mencegah dan memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar,” ujar beliau.

Selain itu, kata Ismail Sabri, terdapat peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar dalam talian (online).

“Jika tindakan segera tidak dilakukan, Malaysia berhadapan dengan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi. Lebih membimbangkan, spesies ikonik negara akan hilang buat selama-lamanya,” tegas Perdana Menteri.

Untuk makluman, mesyuarat turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Pahang, Selangor serta Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri mewakili Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perak.

Manakala di peringkat Persekutuan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan Menteri Kewangan serta wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan turut hadir. – SM

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button