Nasional

Warga asing dibenar lanjut pas lawatan sosial tamat tempoh semasa PKP

MESYUARAT Khas Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memutuskan warga asing yang pas lawatan sosialnya tamat tempoh semasa PKP boleh ke Jabatan Imigresen untuk mendapatkan lanjutan tempoh.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi warga asing yang pas lawatan sosial tamat tempoh ketika PKP Pemulihan (PKPP), mereka boleh terus ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing dalam tempoh 14 hari dari tarikh PKPP tamat.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 72 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 38,501 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, terutamanya melalui lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menahan lapan warga asing atas kesalahan imigresen. Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan di kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 142 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, India, China dan Belanda dengan kesemua mereka telah diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 105 tapak pembinaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 148 penguat kuasa, semalam.

Daripada jumlah itu, pemeriksaan mendapati 59 tapak pembinaan mematuhi prosedur standard operasi (SOP), 16  tidak patuh SOP dan diberi arahan tutup  dan baki 30 lagi  tidak beroperasi.

Katanya jumlah kumulatif tapak pembinaan yang mematuhi SOP sehingga semalam ialah 2,245 manakala yang tidak patuh SOP dan diberi amaran pula sebanyak 437.

“Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak pembinaan ditutup kerana tidak mematuhi SOP,” katanya.

Berkenaan Task Force Operasi Pematuhan, PDRM menahan 15 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP dengan tiga daripada mereka direman dan  12 lagi dikenakan kompaun. – BERNAMA

 

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button