NasionalPolitik

Penutupan Utusan petanda awal matinya kebebasan media di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pada 1998 berlaku reformasi di beberapa buah negara termasuk Malaysia dan Indonesia. Di negara tetangga berkenaan kerajaan berjaya ditumbangkan dan bermulalah reformasi yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini.Ekoran tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Suharto, kebebasan media dibuka seluas-luasnya menyebabkan media yang berfahaman ekstrem kepada satu pihak seperti Harian Merdeka berkubur dengan sendiri kerana tidak lagi menjadi pilihan pembaca. Media yang membawa haluan sederhana seperti Kompas terus bertahan sehingga hari ini.Ketika itu akhbar tumbuh bagaikan cendawan yang muncul selepas hujan yang kebanyakan bermotifkan politik dan ditaja oleh ahli politik yang mempunyai sumber kewangan banyak.

Di Malaysia reformasi gagal. Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu sebagai Perdana Menteri keempat menggunakan segala undang-undang yang ada bagi menangkap musuh politiknya dan memenjarakan mereka.Bagaimanapun ketika itu serangan terhadap media arus perdana yang dikawal oleh kerajaan tidak pernah berhenti. Kesannya ramai yang mula berpindah kepada blog dan portal nyamuk kerana kurang yakin dengan apa yang dihidangkan oleh media arus perdana.

Ketika itulah portal Malaysiakini menjadi media alternatif kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan kerajaan. Dan baiknya kerajaan ketika itu mereka tidak pula menutup portal-portal yang sealiran dengan Malaysiakini, bahkan menteri sendiri telah mengangkat martabat portal menjadi arus perdana apabila mereka sering memberi respons kepada berita yang disiarkan oleh portal.

Pada masa yang sama kerajaan terus membelenggu kaki dan tangan media di bawah kawalan mereka dengan pelbagai cara, termasuk meletakkan ketua pengarang yang mematuhi arahan mereka secara membabit buta tanpa berfikir kesan kepada imej akhbar dan pemikiran masyarakat. Utusan dan seangkatannya menjadi media propaganda kerajaan yang melampau sehingga gagal membawa aspirasi rakyat dan menjadi inspirasi kepada masyarakat. Akhbar yang dihormati kerana membawa pemikiran besar seperti semangat patriotisme dan kemerdekaan, dijadikan alat kerajaan yang mempromosikan pemikiran yang sempit dan jumud serta ditambah dengan fahaman perkauman yang kronik.

Pihak pembangkang ketika itu pula kerap menyaman Utusan demi membunuh imej Utusan, walaupun akhbar berkenaan tidak lagi peduli soal saman kerana matlamat mereka adalah untuk memenangkan tuannya.Ramai yang sangka Utusan bankrap kerana habis duit membayar saman. Sebenarnya saman beberapa juta tidak menjadi kudis kepada Utusan yang mempunyai pendapatan iklan sahaja ratusan juta. Belum lagi hasil jualan akhbar dan projek-projek bisnes lain yang dianugerahkan kepada syarikat Utusan Melayu Malaysia Berhad yang menerbit dan mencetak Utusan Malaysia.

Utusan mempunyai ratusan anak syarikat di dalam pelbagai bidang termasuk pengangkutan, pelancongan, perladangan, pengiklanan radio, pengiklanan papan dan akhbar. Utusan juga diberi kontrak mencetak buku cek untuk bank, penerbitan yang menerbitkan majalah terulung di negara satu masa dahulu seperti Mastika, URTV dan banyak lagi iaitu kira-kira 20 judul.

Sejak 2005 sebenarnya Utusan telah menghidu bahaya yang bakal menanti di masa hadapan. Bila jualan akhbar mulai merosot, diikuti pula dengan pendapatan iklan berkurangan saban tahun. Kemerosotan sokongan kerajaan pula semakin dirasakan dan kemenangan pada setiap kali pilihan raya merupakan bonus kerana trend sokongan pembangkang meningkat setiap tahun.

Kemunculan Facebook dan pelbagai lagi media sosial yang menghidangkan berita percuma walaupun tidak sepenuhnya benar, terus mengancam survival Utusan. Apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil-alih kepimpinan negara terus menyekat langganan Utusan di pejabat kerajaan serta sekolah.

Isyarat negatif itu menyebabkan pelbagai syarikat mulai mengelak daripada mengiklan di Utusan kerana tidak mahu dikaitkan dengan jenama yang tidak digemari kerajaan. Perubahan gaya hidup masyarakat yang lebih memilih media sosial atau berita di atas talian mempercepatkan lagi kematian Utusan. Ada pihak yang mendakwa ada tangan-tangan ghaib yang memotong `kaki’ Utusan supaya lumpuh dan akhirnya mati bagi mengelakkan terus menjadi suara kepada pemerintah terdahulu. 

Saya pada mulanya tidak mahu percaya ada tangan jahat sedemikian, tetapi ketika saya hadir di seminar Kelangsungan Media Cetak: “Mengapa dilayar jika boleh diterbit?” anjuran pelajar Komunikasi Massa UiTM di Shah Alam telah mengesahkan perkara itu. Penasihat kepada Menteri Hal-ehwal Ekonomi, Datuk Khalid Jaafar berkata kejatuhan Utusan adalah kejayaan mereka dan beliau gembira sehingga menghamburkan kata-kata “Padan muka Utusan”.  Walaupun agak tidak sesuai kata-kata itu keluar dari mulut seorang berpangkat besar di dalam kerajaan dan seminar yang diadakan di pusat pengajian tinggi di hadapan para pelajar yang bakal mewarisi negara ini, tetapi ada juga beberapa fakta yang benar boleh dijadikan pengajaran.

Antaranya kegagalan akhbar hari ini membawa pemikiran besar menyebabkan masyarakat lebih gemar mencari satu gagasan pemikiran yang lebih tinggi di buku-buku. Tahap pemikiran dan journalistik yang rendah kalangan wartawan dapat dilihat daripada bahan yang disajikan. Kebanyakan wartawan bukan sahaja tidak membaca buku, bahkan mereka tidak minat membaca walaupun akhbar mereka sendiri. Apa yang dibaca hanya berita yang ditulis sendiri.

Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Lieu Chin Tong lebih berfikiran terbuka dan tidak dibelenggu dendam serta mampu mengetengahkan fakta yang menarik antaranya beliau menceritakan tabiat membaca beliau yang bukan sahaja membaca buku, bahkan akhbar bentuk fizikal atau bercetak dan tetap membaca atau mendengar berita dalam bentuk digital apabila terlalu sibuk.

Oleh itu beliau yakin media cetak mesih mempunyai harapan, tetapi perlu diperkasa dengan media digital, kerana kedua-duanya perlu bergerak seiringan. Beliau turut menekankan kepada pengalaman pengguna dan bahan yang disajikan sebagai faktor utama survival sesebuah akhbar.

Seminar berkenaan sebenarnya lebih kepada seminar politik kerana menjadi pentas percakaran pendapat di antara Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Suhan Hamdan dengan Khalid. Pemimpin UMNO itu berpendapat bahawa adalah perkara biasa sesebuah media mempunyai agenda masing-masing dan sudah pasti ia berkait rapat dengan siapa pemiliknya. Dan di dalam kes Utusan, editor akhbar berkenaan terlebih mengampu pemimpin tertentu atau lebih sudu dari kuah hingga ia tidak disukai oleh pembaca.

Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin pula bimbang dengan sikap masyarakat hari ini yang tidak lagi gemar membaca tetapi terlalu taksub dengen media sosial sehingga menjadikan ia sebagai kiblat dalam mendapatkan berita.

Seorang peserta seminar Datuk Ahmad Talib memberi pandangan yang bernas apabila mencadangkan supaya kerajaan hari ini selain memberi makanan percuma juga turut memberi akhbar percuma di sekolah-sekolah. Walaupun ada wartawan muda yang merungut dan menganggap pandangan beliau sebagai bodoh, tetapi ia sebenarnya sangat benar. Kebanyakan ibu bapa harı ini bukan sahaja tidak memberi makan makanan untuk mengisi perut anak mereka, bahkan mereka tidak memberi makan untuk makanan minda anak-anak. Makanan yang disajikan dirumah tidak berkhasiat dan menyebabkan masalah obesiti. Anak-anak pula malas berfikir dan membaca serta ketagihan kepada media sosial kerana minda mereka tidak dipupuk dengan bahan bacaan yang berkualiti.

Ada seorang pelajar yang bertanya kenapa sukar sangat media untuk berubah kepada digital? Jawapannya mudah sahaja ia berkait dengan perubahan pemikiran dan ia memang subar dilakukan walaupun tidak memerlukan duit walaupun sesen.

Keseluruhannya yang membimbangkan saya ialah media akan dikawal oleh kerajaan semula seperti zaman Perdana Menteri Keempat apabila diambil-alih oleh seorang ahli perniagaan yang dikatakan orang kepercayaan Perdana Menteri Ketujuh. Jika itu benar-benar berlaku maka berkuburlah kebebasan media yang baharu bertatih setahun jagung di negara ini.

(Visited 268 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button