Politik

Penutup Hari Keempat Bersidang, Banyak Berita Gembira Yang Ismail Sabri Umumkan!

KUALA LUMPUR: Selepas empat hari bersidang, Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berakhir hari ini menyaksikan Datuk Seri Ismail Sabri ‘mencuri’ tumpuan dengan pengumuman beberapa berita gembira yang disambut baik oleh perwakilan dan ahli parti serta rakyat.

Berucap ketika penggulungan atas kapasiti Naib Presiden UMNO, setiap pengumuman Perdana Menteri mendapat tepukan gemuruh perwakilan yang bangun sebagai tanda sokongan semasa Ismail Sabri mengumumkan perkara termasuk isu berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Reaksi spontan perwakilan yang jelas menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri, sekali gus menolak pelbagai andaian ‘nakal’ mengenai hubungan beliau dengan beberapa pemimpin utama parti digelar ‘Top Five.’

Ibarat biduk lalu kiambang bertaut, kesepakatan antara pemimpin UMNO itu terserlah apabila saling ‘melagakan tangan’ selepas Ismail Sabri selesai berucap, yang memperlihat keserasian antara mereka dan mematikan dakwaan terdapat ketidaksepakatan dalam kepemimpinan UMNO.

Segala isu yang dibangkitkan perwakilan antaranya mengadakan pemilihan parti selepas PRU15, kos sara hidup, pendidikan, Bahasa Melayu dan pandemik COVID-19 serta tuntutan di luar persidangan sebelum ini seperti gaji minimum, kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, tuntutan Sultan Sulu dan siasatan berhubung bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas – semuanya dijawab oleh Perdana Menteri.

Ismail Sabri, yang julung kali berucap di pentas perhimpunan itu sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri, memberi jaminan isu pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 akan dibincang dalam kalangan “Top Five” dan jika UMNO yakin mampu menang, sudah pasti langkah itu tidak akan dilengahkan walaupun sesaat.

Perkara itu disambut baik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengakui lima pimpinan tertinggi parti sentiasa bertemu untuk berbincang mengenai kepentingan parti serta rakyat.

Mereka juga senada menyerahkan isu berkaitan PRU-15 untuk diputuskan Perdana Menteri sebelum mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kebimbangan berlaku perpecahan jika pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15 juga berakhir apabila Perhimpunan Agung UMNO hari ini meluluskan usul menangguhkannya sehingga selepas enam bulan pilihan raya umum diadakan.

Berita baik lain yang diumum Ismail Sabri ialah perkara berkaitan kepentingan golongan wanita iaitu isteri yang kematian suami dibenar bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah (empat bulan 10 hari) dan akaun bekas suami akan dibeku jika tidak memberi nafkah kepada anak selepas perceraian.

Sentiasa memahami denyut nadi dan kesusahan rakyat, pengumuman kelulusan kerajaan untuk pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini pastinya tidak hanya menambat hati perwakilan malah semua pekerja di seluruh negara.

Naib Presiden UMNO itu turut menyentuh mengenai ekonomi apabila mengumumkan pelaburan baharu berjumlah RM32 bilion oleh DRB-HICOM bagi membangunkan Automotive High-Technology Valley di Proton City, Tanjung Malim, Perak yang bakal mewujudkan 370,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan dan 161,000 pekerjaan sepanjang fasa ia operasi.

Usaha memartabatkan Bahasa Melayu juga disentuh dan untuk itu, Perdana Menteri mahu Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 dipinda bagi membolehkan tindakan diambil terhadap penyalahgunaan bahasa termasuk oleh pihak berkuasa tempatan.

Perhimpunan kali ini disertai 5,571 perwakilan secara bersemuka sepenuhnya selepas menggunakan kaedah hidrid tahun lepas manakala pada tahun sebelumnya tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19. – BERNAMA

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button