fbpx
Luar Negara

Penunjuk perasaan desak PM letak jawatan, reformasi institusi monarki

HARI kelima penunjuk perasaan terus melakukan perhimpunan sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri, Prayuth Chan o-Cha dan Raja mereka Maha Vajiralongkorn.

Protes tersebut diadakan untuk mendesak Prayuth meletakkan jawatan kerana dipercayai mengambil alih jawatan Perdana Menteri negara itu secara tidak sah.

Prayuth dikatakan kembali berkuasa dengan menggulingkan pemerintah terpilih ketika rampasan kuasa pada 2014.

Beliau juga dikatakan kembali berkuasa pada pilihan raya tahun lalu kerana undang-undang diubah untuk memihak kepada parti pro-tentera.

Sementara tindakan protes terhadap Raja Vajiralongkorn pula berhubung isu moral, tradisi dan perlembagaan negara itu.


Ini kerana, Vajiralongkorn dikatakan mempengaruhi perubahan perlembagaan yang memberi lebih kuasa kepada baginda seperti perintah darurat.

Malah, perubahan itu juga dilapor membenarkan baginda memberi arahan kepada beberapa pasukan tentera negara itu.

Selain itu, isu moral terpalit kepada Raja Thailand itu juga seperti perkahwinan poligami, ini kerana baginda dikatakan mempunyai empat orang isteri disamping seorang Permaisuri yang bertentangan dengan larangan poligami di negara itu.

Malah, Raja Vajiralongkorn juga dikatakan terlalu kerap berada diluar negara dan hanya kembali ke Thailand sekiranya terdapat urusan rasmi seperti hari memperingati kemangkatan ayahandanya Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober lalu.

Baginda juga berhadapan dengan masalah semakin kurang pengaruh kerana dikatakan mengumpul kekayaan dan kuasa sejak mewarisi takhta pada 2016.

Kini, tindakan protes oleh warga Thailand di Bangkok masih belum reda dan terbaharu perhimpunan hari kelima diadakan dalam notis yang singkat.

Notis singat tersebut bertujuan untuk mengelak daripada dikesan dan campur tangan pihak berkuasa terhadap perhimpunan yang diadakan di tiga lokasi di sana.

Semalam, protes tersebut diteruskan apabila para penunjuk perasaan berhimpun di persimpangan Kasetsart di Bangkok dan stesen Transit Aliran Metropolitan (MRT) Kementerian Kesihatan Awam.

Mereka terus melaungkan tuntutan perubahan politik termasuklah perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Prayuth, pembubaran parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi institusi monarki.

Tindakan protes dijangka akan tetap diteruskan apabila demonstrasi turut dirancang untuk diadakan di wilayah lain seperti Nakhon Pathom, Buriram, Khon Kaen dan Chiang Mai.

Khamis lepas, Prayuth mengisytiharkan situasi darurat serius di Bangkok bagi menyekat dan melarang penganjuran perhimpunan yang berkuatkuasa pukul 4 pagi hari berkenaan.

Malah, beberapa media turut disekat daripada menerbitkan berita secara dalam talian susulan dikhuatiri menjejaskan keselamatan negara dan menyebar maklumat palsu. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button