Kemalangan

Penunggang motosikal maut rempuh belakang lori

Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang pemandu dan kelindan mengalami kecederaan dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah lori di Kilometer 206.7, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan di sini awal pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia ialah seorang penjual burger, Rosli Yaakob, 39, manakala yang parah ialah kelindan sebuah lori warga Bangladesh, Ali Md Rohomot, 39, dan seorang pemandu lori, Muhammad Azmi Md. Noor, 29 pula mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mayat Rosli dibawa ke Hospital Alor Gajah manakala Ali mendapat rawatan di zon merah dan Muhammad Azmi pula di zon hijau Hospital Melaka.

Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kesemua kenderaan yang terlibat datang dari arah Utara ke Selatan dan kemalangan berlaku di lorong kiri.

“Kemalangan berpunca sebuah lori memperlahankan kenderaan dengan menyalakan lampu double signal kerana terdapat pembinaan jalan di lorong paling kanan manakala sebuah lagi lori di belakang turut memperlahankan kenderaan dengan menyalakan lampu double signal.

“Namun lori ketiga terus melanggar belakang sebuah lori kedua menyebabkan kenderaan itu mengelongsor ke depan melanggar belakang lori pertama.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori paling belakang iaitu Muhammad Azmi tersepit dalam kenderaannya. Kelindannya, Ali turun dari lori untuk mengawal lalu lintas menggunakan lampu daripada telefon bimbit,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, Rosli yang menunggang motosikal tidak sempat mengelak terus melanggar Ali dan belakang lori yang dipandu Muhammad Azmi.

Menurutnya, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan mangsa.

“Pemandu lori yang tersepit dan kelindannya mengalami kecederaan dan di bawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan. Bagaimanapun, pemandu lori paling hadapan, P. Kamalanaathan, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Tambahnya, kes itu disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button