Politik

Hutang negara: Najib nasihat kerajaan bawa usul di Parlimen

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan Kerajaan Perikatan Nasional untuk segera membawa usul baharu menaikkan kadar hutang negara di Parlimen.

Najib yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap menteri terbabit jika kadar hutang baharu tidak diperbetulkan dan dilulus Parlimen.

“Sekiranya kerajaan bertukar tangan lagi pada masa hadapan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap menteri-menteri kerajaan PN jika keadaan ini tidak diperbetulkan dan dilulus Parlimen.

“Jadi, kerajaan PN perlu jujur dan perbetulkan keadaan secepat mungkin. Bawalah usul baru untuk menaikkan lagi had hutang untuk diluluskan dalam parlimen sebagaimana kerajaan PN pernah buat pada bulan Ogos tahun lalu.

“Hutang negara bukan isu kecil yang hanya memberi kesan kepada kerajaan PN hari ini sahaja. Tak kira bahawa kerajaan PN sudah tukar dasar kepada dasar hutang yang lebih fleksibel atau tidak. Hutang adalah hutang dan kerajaan-kerajaan masa depan bersama Rakyat perlu berdepan dengannya pada akhirnya.

Najib mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung hutang negara semalam.

Tengku Zafrul berkata apabila Kementerian Kewangan melaporkan hutang negara adalah sebanyak RM820.7 bilion atau 58.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setakat hujung 2020, dan menjangkakan hutang akan mencecah 58.8 peratus pada 2021, ia adalah merujuk kepada MGS, MGII dan MITB (seperti yang ditakrif dan diperuntukkan di bawah Akta Covid-19).

Apabila mengambil kira pinjaman pesisir luar dan pinjaman-pinjaman lain, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM879.6 bilion atau 62.2 peratus daripada KDNK.

Pada Ogos tahun lalu Kementerian Kewangan mengusulkan kepada Perlimen untuk menaikkan had statutori hutang sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 55 peratus sebelum itu.

“Ianya juga salah jika kerajaan PN menipu dan menafikan had hutang sudah tercecah biarpun laporan-laporan rasmi Kementerian Kewangan sendiri nyatakan dengan jelas bahawa nisbah hutang sudah pada paras 62.2% pada akhir tahun 2020.

“Kerajaan boleh tipu sendiri dan tipu Rakyat tapi kerajaan tidak mampu tipu ahli-ahli ekonomi dan pelabur asing yang tidak akan senang bahawa kerajaan cuba menipu data fiskal negara.

“Nisbah hutang 60% sudah cecah. Defisit bajet 5.4% bagi belanjawan 2021 yang diluluskan dalam parlimen pada akhir tahun lalu juga telah cecah,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.-SM

 

 

(Visited 378 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button