Politik

Tarik UMNO secara en-bloc keluar PN – Isham Jalil

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mencadangkan menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen UMNO keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara en-bloc atau beramai-ramai.

Isham yang tampil sebagai tetamu dalam Live @ Suara Merdeka semalam berkata, usul yang disarankannya itu sejak kelmarin, diulang lagi semalam, perlu dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal diadakan pada 27 Mac ini nanti.

“Saya ingin mencadangkan supaya usul penarikan en-bloc menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen UMNO dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO pada 27 Mac 2021 ini untuk dibincang dan diluluskan.

“Penarikan en-bloc daripada kabinet dan kerajaan PN ini adalah suatu keperluan kritikal pada ketika ini untuk membolehkan Parlimen dibuka dengan segera,” katanya dalam memberikan justifikasi mengapa beliau tampil dengan cadangan sedemikian.

Menurut Isham, apabila penarikan en-block dilakukan dan Parlimen dapat segera bersidang, dapatlah dilakukan proses semak imbang kerajaan dengan lebih telus dan berkesan untuk menangani krisis Covid-19.

Selain itu, katanya, krisis ekonomi dan politik negara yang semakin buruk yang memberikan kesan negatif berganda kepada rakyat juga dapat dirungkaikan tanpa perlu berlengah lagi.

“Seperkara lagi, UMNO berpegang kepada aku-janji, bukan seperti pihak sebelah sana. Kalau nak pecat, pecatlah tetapi ada kaveat.

“Ada kondisi lain yang menekan atau mendesak kita kalau nak keluar sekarang. Ada situasi mendesak yang membolehkah kita berbuat sesuatu yang drastik untuk keluar.

“Tidak ada kata nak buat darurat daripada pihak mereka. Tidak ada kata dalam perjanjian kita perlu bersama mereka sehingga ke PRU-15.

“Sekarang, dua kondisi ini sudah pecah. Bila keadaan teruk sangat, ekonomi teruk, Covid teruk, kita perlu buat sesuatu secara drastik. Keluar dari en-bloc sekarang.

“Kalau kita tarik en-bloc, ada sebab untuk jumpa Yang diPertuan Agong kerana kita tidak lagi dalam kerajaan Perikatan Nasional, 41 orang keluar tinggal 71 orang sahaja,” katanya sambil menambah, boleh mendesak pembubaran Parlimen, pembukaan Parlimen dan kerajaan baharu.

Isham berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi enggan membuat keputusan unilateral kerana beliau, pada hemat Isham, adalah seorang yang amat berhalus umpama menarik rambut dalam tepung.

“Maka itulah, saya ingin mencadangkan usul, en-bloc UMNO keluar pada PAU. Daripada pucuk pimpinan ke akar umbi UMNO, tidak ada lagi orang yang mahu buat onar, alasan untuk memecah belahkan.

“Ada 12 speaker pada PAU dan saya harap usul atau cadangan ini dibawa nanti,” katanya. – SM

 

(Visited 533 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button