Nasional

Kerjasama Perodua-TNB sediakan stesen pengecas kenderaan elektronik

PERODUA boleh mengambil peluang bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam meningkatkan pengeluaran elektrik menggunakan sumber tenaga yang bersih serta penyediaan stesen pengecas kenderaan elektronik yang secukupnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dengan meneroka peluang baharu Perodua boleh menghasilkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh Keluarga Malaysia.

“Kedua-dua pihak boleh bekerjasama untuk memperkenalkan kadar caj yang mampu dilanggani oleh semua.

“Malah, syarikat telekomonikasi negara seperti Telekom Malaysia juga dapat membuka kerjasama dengan kedua-dua pihak ini untuk menyediakan pakej data yang mampu memudahkan para pengguna untuk membuat tempahan caj kenderaan secara dalam talian,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikia pada Majlis Pelancaran Perodua Alza Serba Baharu, hari ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, kerjasama pintar seperti ini perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi kesan perubahan iklim yang melanda dunia.

Katanya, perjanjian seperti ini dapat menjamin kelestarian dan pembangunan negara yang mampan.

“Kerajaan pula sedia berbincang dengan pihak swasta untuk memastikan dasar atau initiatif yang diperkenalkan bersesuaian dengan hala tuju negara” ujar beliau.

Ismail Sabri berkata, baru-baru ini beliau telah meminta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terletak dalam wilayah Hightech Valley untuk membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automative Research and Training (CAART).

Katanya, syarikat automotif nasional juga turut bertanggungjawab memajukan industri melalui pelaburan lestari.

“Dan pada masa yang sama, berusaha untuk meningkatkan kebolehan syarikat-syarikat tempatan dari sudut kualiti, teknologi dan produktiviti,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengakui tertarik dengan ciri-ciri canggih yang ada pada model Perodua Alza Serba Baharu.

“Saya amat tertarik dengan ciri-ciri canggih yang ada padanya dengan penambahbaikan ketara dari segi keselesaan pemanduan dan lebih versatil.

“Saya percaya model baharu ini akan diterima baik oleh seluruh Keluarga Malaysia kerana harganya yang kompetitif dan aspek keselamatannya dipertingkatkan sesuai dengan aspek pemanduan di Malaysia,” ujar Ismail Sabri.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berharap Perodua dapat mencari peluang untuk memasarkan produk-produknya hingga ke peringkat antarabangsa. – SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button