Nasional

Penularan HFMD di Melaka semakin membimbangkan

Sebanyak 20 premis diarahkan ditutup serta-merta

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 20 Mei – Sebanyak 20 premis diarah tutup serta merta berikutan penularan kes jangkitan penyakit
tangan, kuku dan mulut (HFMD) di Melaka semakin membimbangkan kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Rusdi
Abd. Rahman.

Menurutnya, premis yang ditutup iaitu membabitkan taska, tadika dan premis persendirian itu berikutan kes
yang direkodkan meningkat daripada 1,378 kes sebelum ini meningkat kepada 1,633 kes.

Beliau berkata, premis yang ditutup ialah tadika (8), taska (6), premis persendirian (4) dan pusat jagaan
(2) di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

“Kesemua premis ini kecuali premis persendirian telah diarahkan ditutup selama 10 hari atau berdepan
tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Ada premis diarahkan tutup jika kita mendapat laporan jika lebih daripada empat kanak-kanak dikesan
mengalami gejala awal seperti demam.

“Jabatan Kesihatan negeri (JKNM) telah meminta kerjasama daripada taska dan tadika untuk melapor awal jika
berlaku jangkitan HFMD supaya kita dapat bertindak awal untuk pencegahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Mega Penguatkuasaan Peraturan-
peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT), di Bandar Hilir, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, daerah Melaka Tengah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 772 kes diikuti
Alor Gajah (516 kes) dan Jasin (345 kes).

“Kita jangkakan, angka jangkitan ini akan terus melonjak beberapa hari lagi jika taska, tadika dan pusat
jagaan persendirian terus mengabaikan langkah kawalan dan pencegahan selain tiada kesedaran memastikan
penyakit itu tidak terus menular,” katanya.

Beliau menambah, amaran telah diberikan kepada pemilik premis jika mereka ingkar dan mengabaikan langkah-
langkah kawalan, arahan penutupan boleh diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit
Berjangkit 1988 (Akta 342).

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button