Bola SepakSukan

Liverpool sedia kemuka bidaan baharu, Thiago hubungi Klopp

LIVERPOOL terus dikaitkan dengan pemain tengah Bayern Munich, Thiago Alcantara yang dikatakan telah menghubungi sendiri Jurgen Klopp.

Menurut laporan, Bayern sedang menanti Liverpool menghantar bidaan baharu untuk Thiago dalam masa terdekat ini.

Reds didakwa telah pun membuat tawaran terhadap pemain tengah itu yang berharga 25 juta pound (RM138 juta).

Media Jerman melaporkan Liverpool sememangnya menjadi destinasi pilihan Thiago..Berita itu bermula selepas khabar angin tersebar di dalam bilik persalinan Bayern bahawa Thiago mahukan perpindahan ke Anfield.

Thiago didakwa berkata, telah menawarkan kediamannya kepada rakan sepasukan kerana dia berhajat untuk mencari pengalaman baru di tempat lain.

Pemain itu kini hanya berbaki setahun di dalam perjanjian semasanya, tetapi telah memaklumkan kepada Bayern dia tidak akan menandatangani kontrak baharu.

Justeru juara Bundesliga itu berharap mereka dapat menjual pemain itu bagi mendapatkan wang tunai, berbanding kehilangan khidmatnya secara percuma.

Kelab itu pada awalnya meletakkan harga sebanyak 31 juta pound (RM171 juta), namun, telah menurunkan harga kepada 25 juta pound.

Liverpool bagaimanapun, bersikap menutup mulut berhubung potensi Thiago menyertai kelab itu, tetapi nampaknya Reds bersedia membuat bidaan.

Pakar perpindahan pemain, Romano menerusi akaun Twitter berkata: “Liverpool masih berusaha bagi mendapatkan Thiago Alcantara. Bayern kini yakin mereka bakal menerima bidaan baharu daripada #LFC dalam masa terdekat.

“Klopp sekali lagi mendesak untuk khidmat Thiago. Manchester United pada ketika ini hanya menghubungi ejen pemain itu, tiada sebarang tindakan lanjut antara kedua-dua kelab.”

Sementara itu, RMC Sport, Mohamed Bouhafsi pula mendakwa Thiago hanya mahu menyertai Liverpool dan pemain itu telahpun bertindak menghubungi Klopp.

Thiago didakwa berkata, dia hanya menanti lampu hijau mengemas beg pakaiannya untuk berpindah ke England dan memulakan cabaran baru.

Bos Bayern, Hansi Flick turut mengakui bintang tengah Bayern itu mahu meninggalkan kelab tersebut.

“Saya menjangkakan dia bakal meninggalkan kami. Kami sebelum ini fokus sepenuhnya kepada Liga Juara-Juara, dan kontraknya tidak menjadi isu sejak beberapa minggu lalu.

“Kami masih belum berunding lagi, tetapi saya rasa dia telahpun membuat keputusan,” kata Flick kepada media Jerman, Bild. – Daily Express UK – SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button