Ekonomi

Bank Rakyat tandatangani MoU dengan institut penyelidikan Qatar

BANK RAKYAT menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dua tahun dengan syarikat Derasat bagi Penyelidikan dan Perundingan dalam Perbankan Islam bagi mengukuhkan kerjasama dalam membangunkan industri kewangan Islam.

Derasat yang merupakan penyedia perkhidmatan dan produk perbankan Islam terkemuka di Qatar, bekerjasama dengan Bank Rakyat untuk saling bertukar kepakaran dan pengetahuan termasuk mewujudkan kerjasama saintifik bagi menyokong kerja penyelidikan Meja Bulat Ulama Syariah Antarabangsa (iSHAR) 2022.

iSHAR yang bermula sejak tahun 2015 ini anjuran bersama Bank Rakyat dengan rakan strategiknya, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) diadakan setiap dua tahun sekali untuk membincangkan tentang isu kewangan Islam yang dihadapi oleh industri perkhidmatan kewangan Islam.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan dan Pengurus Besar Syarikat Derasat, Mahmoud Abdulbari dalam satu majlis yang diadakan secara dalam talian.

Menurut Dato’ Syed Abdul Aziz, Bank Rakyat sangat mengalu-alukan kolaborasi dengan syarikat Derasat bagi memanfaatkan kepakaran mereka dalam bidang kewangan Islam, terutamanya apabila penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan institusi kewangan Islam dan pemain industri lain.

Bank Rakyat sentiasa terbuka untuk menandatangani MoU dengan organisasi antarabangsa dan syarikat perunding maju bagi menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian perbankan Islam yang inovatif, menaik taraf penyampaiannya serta menyokong pertumbuhan perbankan Islam.

“Kerjasama ini juga seiiring dengan visi Bank Rakyat untuk menjadi ‘Bank Koperasi Islam Progresif No.1 di Malaysia’ yang mana Bank percaya terhadap kepentingan dalam memberi semula kepada masyarakat bukan sahaja di tempat ia beroperasi tetapi juga kepada industri kewangan Islam secara keseluruhannya menerusi perkongsian ilmu,” tambah beliau. – SM

(Visited 189 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button