Rencah Hidup

Pensyarah jadi mangsa Macau Scam, ditipu RM100,000

SEORANG pensyarah di Kuantan, Pahang,  membuat laporan polis mendakwa kerugian RM116,349 selepas terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan syarikat telekomunikasi.

Memetik laporan BERNAMA hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt. Mohd. Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 57 tahun mendakwa dihubungi suspek lelaki pada Selasa lepas, kononnya daripada syarikat telekomunikasi yang mahu menyemak talian kerana dimaklumkan telah disalah guna untuk judi dalam talian.

“Mangsa mendakwa memberikan kerjasama kepada permohonan itu dan suspek pertama juga telah menyambungkan talian kepada suspek kedua yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban, Negeri Sembilan.

“Suspek kedua dikatakan memaklumkan selain nombor telefon, identiti mangsa juga digunakan untuk membuka akaun bank bagi menyimpan hasil judi berjumlah RM2.3 juta menyebabkan terdapat waran tangkap dikeluarkan terhadap dirinya,” katanya.

Mohd. Wazir berkata, mangsa yang ketakutan mendakwa ‘Inspektor’ Macau Scam terbabit memberitahu waran tangkap itu boleh dibatalkan.

Namun mangsa perlu membayar sejumlah wang kononnya sebagai ‘jaminan’ untuk mangsa memberi kerjasama kepada siasatan apabila diperlukan.

Mangsa difahamkan telah membuat 14 transaksi pemindahan wang ke dua akaun yang diberikan suspek bermula Selasa sehingga semalam, apabila dia akhirnya gagal menghubungi suspek bagi bertanyakan ‘perkembangan kes itu’.

Sehubungan itu, mangsa yang berasa ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA 

 

(Visited 267 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button