Berita

Koronavirus: Amaran jingga, Malaysia akan bincang dengan Singapura

PUTRAJAYA, 8 Feb  — Malaysia akan berbincang dengan Singapura susulan tindakan negara itu menaikkan amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) daripada tahap kuning ke jingga dalam usaha membendung penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia antara lain bagi membincangkan langkah yang boleh diambil kerajaan terutamanya dalam keselamatan sektor pekerjaan yang melibatkan pekerja dari kedua-dua negara.

“Ia bagi melihat bagaimana virus koronavirus ini boleh disekat oleh kedua-dua negara kerana ramai rakyat kita bekerja di Singapura, dan begitu juga sebaliknya.

“Saya telah berbincang dengan Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr C. Suresh Kumar, dan kami amat prihatin dengan perkembangan semasa kes itu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini kes koronavirus di sini hari ini.

Beliau berkata kes yang berlaku di Singapura dan Malaysia adalah berbeza kerana republik itu mendapat jangkitan koronavirus secara terus daripada warga China yang berkunjung ke negara itu.

Di Malaysia pula kata Dr Wan Azizah, kes positif koronavirus yang direkodkan melibatkan warga China yang memasuki negara ini selepas melawat Singapura.

“Kami tidak mahu kes daripada rakyat Malaysia di Malaysia yang tidak tidak pernah ke China atau mempunyai kontak dengan warga China. Itu adalah kes sekali-sekala yang kita cuba bendung,” katanya.

Semalam, Singapura mengumumkan menaikkan amaran DORSCON daripada tahap kuning ke jingga berikutan penemuan beberapa kes koronavirus baharu membabitkan mangsa yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China, sekali gus mengarahkan semua sekolah menghentikan semua kegiatan luar sehingga cuti hujung Mac ini.

Ditanya sama ada Malaysia perlu mengambil langkah menyekat kemasukan semua warga China, Timbalan Perdana Menteri berkata setakat ini tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Dr Wan Azizah berkata selain tidak mahu menimbulkan rasa panik, langkah itu juga berpandukan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang belum mengeluarkan arahan sekatan perjalanan.

“Di Malaysia keadaan masih terkawal. Kita juga perlu seimbangkan antara menjaga kesihatan rakyat dan negara daripada wabak itu dan dalam masa yang sama tidak memudaratkan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri mengakui kes kluster koronavirus memberi kesan besar kepada perkembangan ekonomi, khususnya di sektor pelancongan dan perhotelan, perusahaan kecil dan sederhana serta perusahaan inap desa.

Mengenai kebimbangan bahawa warga Malaysia yang positif koronavirus pada 4 Feb lepas mungkin telah ‘menyebarkan’ virus itu kepada orang lain kerana dipercayai telah berkunjung ke beberapa tempat sebelum disahkan positif, Dr Wan Azizah berkata masyarakat tidak harus panik.

Beliau berkata pihak Kementerian Kesihatan telah membuat pengesanan kontak dengan 69 individu yang berhubung dengan lelaki berumur 41 tahun itu dan selepas ujian pengesanan dan pengesahan dijalankan, kesemua mereka disahkan negatif.

Lelaki berasal dari Selangor itu menjadi rakyat Malaysia pertama disahkan dijangkiti koronavirus selepas pulang daripada satu mesyuarat di Singapura dari 16 hingga 22 Jan yang turut disertai delegasi antarabangsa termasuk China.

Sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes positif koronavirus adalah sebanyak 16 orang, iaitu 12 warga China dan empat rakyat tempatan.

— BERNAMA

(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button