AgamaNasionalNegeri

Penjawat awam, swasta diajak potong gaji untuk wakaf tunai MAIPs

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak penjawat awam dan swasta di semua peringkat di negeri ini menyertai program berwakaf secara tunai bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui potongan gaji bulanan.

Titah Baginda, ‘Berwakaf tunai itu amatlah mudah. Melalui Kempen “Jom Berwakaf 50 Sen Sehari Bersamaan RM15 Sebulan Secara Potongan Gaji Bulanan” mampu menjana pendapatan wakaf yang konsisten untuk dimanfaatkan kepada pelbagai inisiatif wakaf berimpak tinggi’.

Demikian titah perutusan baginda di ‘Seminar Kesedaran Berwakaf Peringkat Negeri Perlis Sempena Program Roadshow Bulan Wakaf Kebangsaan (BWK) Tahun 2022’ yang disempurnakan perasmiannya oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), petang semalam.

Keberangkatan tiba Raja Puan Muda pada majlis anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Putrajaya bersama MAIPs ialah Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Selamat Paigo dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Titah Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang DiPertua MAIPs, ‘Sesungguhnya dana wakaf tunai yang besar amat diperlukan bagi merealisasikan setiap agenda dan inisiatif wakaf seperti yang dirancang.

“Oleh itu, kejayaan pembinaan Bangunan Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) merupakan mercu tanda kejayaan sumbangan wakaf tunai seluruh masyarakat dalam membantu meringankan beban pesakit yang menderita dan memerlukan rawatan kesihatan sempurna,” titah Baginda.

Dalam titah Baginda, keunikan amalan wakaf ini adalah disebabkan manfaatnya yang bersifat ‘universal’, boleh dinikmati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, sosio-ekonomi dan sebagainya.

“Ayuhlah! Kita sama-sama berwakaf. Walaupun sedikit nilainya tetapi memberi seribu makna kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” titah Raja Muda.

Terdahulu daripada itu diadakan Diskusi Meja Bulat : Perkongsian Pengalaman Wakaf Panel Sarjana / Pegawai Wakaf Negara-Negara Islam yang dimoderatorkan oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Dr Muhammad Fathullah Al-Hadj Muhammad Asni.

Turut dilaksanakan ialah pemeteraian upacara menandatangani Surat Hasrat Pelantikan Nazir Wakaf Pendidikan Jamalullail KUIPs yang disaksikan oleh Raja Puan Muda. – SM

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button