Nasional

RM15.2 bilion nilai pembangunan kasar projek sakit dipulihkan sejak penubuhan task force

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),  Akmal Nasrullah Mohd Nasir telah mempengerusikan mesyuarat Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai Bil. 6 Tahun
2023 pada 22 Jun 2023 yang lalu bagi meneliti kedudukan terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai dan mengesahkan statistik terkini status projek secara keseluruhan sehingga 31 Mei 2023.

Menurut beliau, Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai telah mengenalpasti sebanyak 124 projek lewat, 471 projek sakit serta 112 projek terbengkalai.

Secara keseluruhan, katanya, sebanyak 149 projek perumahan swasta telah berjaya dipulihkan iaitu sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance, CCC) atau kembali lancar mengikut pemajuan yang dirancang sepanjang penubuhan Task Force. Daripada jumlah tersebut, sebanyak
31 projek (3,299 unit) berjaya dipulihkan untuk tempoh 1 Mei 2023 hingga 31 Mei 2023.

“Task Force pada kali ini telah menunjukkan peningkatan pencapaian dari segi menambahbaik pelaporan status projek dengan mengambilkira nilai pembangunan kasar iaitu Gross Development Value (GDV). Sebanyak 149 projek perumahan swasta yang telah dipulihkan tersebut melibatkan 17,436 unit rumah yang bernilai RM15.2 bilion iaitu 22.3% daripada RM 68.1 bilion (RM50.5 bilion projek perumahan swasta sakit dan RM17.6 bilion projek perumahan swasta lewat),” katanya dalam kenyataan.

Mengambil kira Nilai Pembangunan Kasar bagi projek lewat, sakit dan terbengkalai, Task Force akan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) untuk perbincangan yang lebih berfokus .

Di samping itu juga, Task Force akan terus memperkemaskan kaedah pengenalpastian (tracking) status projek perumahan swasta lewat dan sakit supaya kaedah penyelesaian  dan langkah preventive yang akan diambil lebih bersesuaian dan tepat mengikut masalah yang dihadapi.

Menurut Timbalan Menteri: “Kerjasama erat bersama agensi teknikal merupakan usaha yang proaktif dan memberikan output yang positif. Hasilnya dalam pertemuan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 22 Mei 2023 yang lalu, sebanyak 21 daripada 44 projek perumahan swasta sakit yang mempunyai isu melibatkan TNB telah berjaya diselesaikan.”

Seterusnya, pasukan Task Force akan terus mempergiatkan libat urus dengan agensi-agensi teknikal yang lain seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) dan agensi-agensi teknikal yang lain mengikut keutamaan, malah turut melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan
Perubahan Iklim (NRECC).

Pasukan Task Force yakin selain daripada turun padang melawat ke tapak projek, pendekatan libat urus ini akan menjadikan projek perumahan \swasta sakit dan terbengkalai akan dapat ditangani dengan lebih efektif di masa hadapan.

Timbalan Menteri turut menekankan bahawa penyiapan projek perumahan merupakan tanggungjawab pemaju manakala Task Force sentiasa bersedia menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan urusan yang berkaitan dengan kementerian termasuk agensi-agensi berkaitan bagi tujuan mempercepatkan proses penyiapan dan memperoleh CCC.

Semua pihak berkuasa negeri turut diseru untuk turut sama berganding bahu dalam menangani masalah yang dihadapi oleh projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara. – SM

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button