Nasional

Penjana: RM9 bilion untuk halang pengangguran

KERAJAAN memperuntukan RM9 bilion bagi menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan
memastikan pengekalan pekerjaan.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, peruntukan tersebut akan memanfaatkan 3 juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif. Antaranya kerajaan akan memperluaskan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion.

“Sejak diperkenalkan dalam Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan, program subsidi upah telah disambut baik oleh pekerja dan majikan. Program selama 3 bulan ini telah berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan.

“Bagi pekerja sektor pelancongan dan sektor-sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang dilarang sepanjang tempoh PKPB, serta telah diarahkan mengambil cuti tanpa gaji, majikan boleh memohon subsidi upah dengan syarat pekerja tersebut menerima bayaran subsidi secara langsung. ” kata Muhyiddin dalam perutusan khas Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau Penjana hari ini.

Bagi menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan, Kerajaan akan memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion.

Menurutnya syarikat, akan diberikan insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia.

“Dianggarkan 300 ribu pencari kerja akan mendapat manfaat melalui dua insentif iaitu pertama: Insentif bagi menggaji penggangur berumur di bawah 40 tahun sebanyak RM800 sebulan bagi setiap pekerja.

“Dan kedua Insentif bagi menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan OKU sebanyak RM1,000 sebulan,” kata Muhyiddin.

Bagi membantu dan menggalakkan penganggur meningkatkan kemahiran, elaun latihan sehingga RM4,000 boleh dituntut daripada PERKESO oleh mereka yang hilang pekerjaan, walaupun mereka bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.

Bagi menangani isu kadar pengangguran belia dan meningkatkan kebolehpasaran graduan, Kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan.

Kerajaan juga memperuntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia yang akan memanfaatkan lebih daripada 200 ribu orang.

Bagi golongan penganggur pula, kerajaan akan melaksanakan program peningkatan kemahiran (upskilling) di dalam industri penting seperti elektrik  dan elektronik serta teknologi maklumat dan komunikasi dan  enggalakkan penyambungan pembelajaran melalui kursus jangka pendek dan subsidi latihan.

Kerajaan juga akan merangka dasar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor ini dengan peruntukan sebanyak RM75 juta.-SM

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button