Ekonomi

PENJANA: Pendaftaran insentif pengambilan pekerja dibuka hari ini

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, mulai hari ini majikan boleh membuat permohonan insentif pengambilan pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui sistem www.penjanakerjaya.perkeso.gov.my.

Saravanan berkata, program insentif pengambilan pekerja itu seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lepas.

Seperti mana yang diumumkan oleh Muhyiddin, pelan itu menawarkan insentif kewangan kepada majikan antara RM600 dan RM1,000 bagi seorang pekerja atau perantis yang diambil bekerja sehingga tempoh enam bulan.

Saravanan berkata, pendaftaran profil majikan dan pencari kerja di bawah PenjanaKerjaya telah bermula pada 15 Jun lepas.

“Majikan yang mempunyai kekosongan jawatan digesa menggunakan platform yang disediakan bagi memperoleh insentif pengambilan pekerja tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bermula 15 Jun hingga 30 Jun lepas, portal MYFutureJobs www.myfuturejobs.gov.my mencatatkan purata harian 3,088 pencari kerja dan 2,692 kekosongan jawatan.

“Ini menjadikan jumlah terkumpul sebanyak lebih daripada 113,300 pencari kerja dan hampir 95,400 kekosongan aktif (jawatan sedia untuk diisi) yang direkodkan oleh MYFutureJobs,” katanya sambil menambah, inisiatif kerajaan itu bertujuan meningkatkan pewujudan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.

Pencari kerja akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai melalui program tersebut, katanya.

Kata Saravanan lagi, insentif itu merangkumi bantuan kewangan untuk majikan yang menggajikan lepasan sekolah, siswazah, penganggur dan pekerja yang diberhentikan serta perantis.

Beliau berkata, di bawah skim MYApprentice, majikan layak mendapat insentif pengambilan sebanyak RM600 seorang jika menggajikan perantis.

Di bawah skim HireMalaysia pula, majikan yang menggajikan penganggur berumur bawah 40 tahun akan mendapat insentif sebanyak RM800 bagi setiap pekerja manakala untuk pengambilan penganggur berumur antara 40 hingga 60 tahun atau orang kelainan upaya (OKU), majikan layak mendapat insentif sebanyak RM1,000 bagi setiap pekerja.

Majikan juga memperoleh manfaat pekerja mahir sekiranya pengambilan dilakukan melalui PenjanaKerjaya kerana pekerja terbabit boleh dihantar mengikuti kursus kemahiran dan peningkatan kemahiran, katanya.

Beliau berkata antara kursus yang disediakan adalah Revolusi Industri 4.0, pengkomputeran awan, keselamatan siber, pembelajaran mesin, logistik, pembuatan, pembinaan, hospitaliti serta jualan dan pemasaran.

Bagi pencari kerja yang perlu berpindah untuk menerima tawaran pekerjaan di bawah PenjanaKerjaya, mereka akan diberikan bantuan mobiliti antara RM600 hingga RM1,000, katanya.

Untuk sebarang bantuan atau pertanyaan lanjut, pencari kerja dan majikan boleh hadir ke mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara atau menghubungi talian 1-300-22-8000 atau 03-8091 5300. -SM

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button