NasionalPolitik

Semoga jihad Norhizam membunuh babi hutan di Melaka akan diingati

KISAH Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka Datuk Norhizam Hassan Baktee dan kisah babi hutan yang diburunya sejak kebelakangan ini menarik perhatian umum bukan sahaja di negeri itu tetapi juga di seluruh Malaysia.

Hal babi hutan kini seolah-olah isu serius yang sedang melanda negeri kedua terkecil di Malaysia ini.

Exco Melaka yang suatu ketika dahulu terkenal dengan ayat ‘awak YB ke saya YB’ membawa cerita operasi yang disertai beliau berjaya menembak 479 ekor babi hutan  dari Januari hingga Oktober tahun ini ke dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

Video Norhizam bertekak dengan pembangkang kerana operasi yang disertai beliau berjaya membunuh babi hutan kini menjadi perhatian bukan sahaja oleh penduduk negeri Melaka tetapi juga seantero Malaysia.

Dia sangat berbangga dengan kejayaan operasi menumbangkan 479 ekor babi hutan dalam tempoh sepuluh bulan itu.

Menurutnya, ia satu kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana bekas wakil rakyat mahupun  bekas Exco daripada Barisan  Nasional yang mentadbir Melaka sebelum ini.

“479 ekor bulan satu hingga bulan oktober. Jadi di sini menunjukkan kerajaan dulu tak buat kerja. Kalau dia buat kerja dah tentu babi tak banyak.

“Bila saya katakan kerajaan dulu tidak membuat kerja benda tu betullah. Kalau kerajaan dulu buat kerja tembak babi mesti banyak. Mana ada gambar exco dulu keluar,” kata Norhizam dalam DUN Melaka baru-baru ini.

Menurut ADUN Pangkalan Batu itu, kalau dia tidak menyelesaikan masalah babi hutan tidak ada siapa yang akan melakukannya.

“Babi hutan ni memang haram kepada orang Melayu. Kalau dah sampai sekitar rumah dia dah masuk masjid dan masuk sekolah siapa punya tanggungjawab di bawah saya,” isytihar Norhizam.

 

Apa yang dikatakan oleh Norhizam mengamatkan DUN Melaka. Bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menyelar Norhizam kerana dia sebelum ini mendakwa babi hutan yang banyak di Melaka berasal dari Indonesia.

“Cerita dia babi datang dari Indonesia telah menyebabkan masalah diplomatik. Kerajaan Indonesia marah mengapa babi dikaitkan dengan Indonesia. Ini kenyataan orang bodoh.

“Sekarang Kementerian Luar Indonesia tanya kerajaan Malaysia mengapa exco kerajaan Melaka kaitkan babi dengan Indonesia. Apa punya Exco cakap tak pakai otak. No brain. Ini apa punya manusia otak tak ada,” dakwa Idris.

Pada 4 September lalu Norhizam mengejutkan rakyat Malaysia apabila mendakwa babi hutan berupaya berenang merentasi Selat Melaka dari Sumatera ke Melaka.

“Pencerobohan babi hutan dari Indonesia ini amat mengecewakan kami memandangkan populasi haiwan liar di negeri ini bertambah.  Melaka kini dipenuhi dengan babi hutan dari Indonesia,” kata Norhizam seperti yang dilaporkan oleh The Star.

Pertikaman mulut antara Norhizam dan Idris menyebabkan Speaker DUN Melaka Datuk Wira Omar Jaafar masuk campur,  “Kita isytiharkan Pangkalan Batu Juara Penembak Babi. Selesai ya selesai.”

Omar memberitahu gelaran ‘Juara Penembak Babi’ yang diberikan kepada Norhizam itu bukan bermaksud menghina. Sebaliknya gelaran yang diberikan kepada Timbalan Pengerusi DAP itu sebagai wira datau seorang yang hebat dalam menjalankan tugas.

Gelaran Juara Penembak Babi itu sebenarnya cocok dengan Norhizam. Semoga jihadnya menumbangkan babi-babi sehingga tidak ada seekor pun yang tinggal di Melaka itu akan membuahkan kejayaan.

Bukan mudah untuk menghapuskan babi hutan. Kerajaan BN dahulu gagal mengawal populasi babi hutan.

Semoga jasa Norhizam yang merupakan ahli DAP itu melawan babi hutan-babi hutan yang berenang dari Sumatera itu akan diingati oleh rakyat Melaka dan rakyat Malaysia selepas ini.

(Visited 553 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button