Nasional

Peningkatan kes HFMD di Melaka masih terkawal

JUMLAH kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 di negeri ini yang berakhir 14 Mei lalu dilaporkan melebihi aras epidemik iaitu 95 kes kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Bagaimanapun menurutnya, situasi penyakit tersebut masih lagi terkawal dengan majoriti kes dirawat adalah sebagai pesakit luar dan tiada kematian di laporkan walaupun sebanyak 67 kes kanak-kanak dimasukkan ke wad setakat ini.

Beliau berkata, peningkatan semula kes HFMD di negeri ini adalah selepas cuti Hari Raya Aidilfitri kerana faktor pergerakan dan pembukaan semula taska, tadika serta pusat jagaan kanak-kanak.

Beliau berkata, sebanyak 401 kes yang direkodkan sepanjang tempoh ME itu meningkat sebanyak 346 kes atau 629 peratus berbanding dengan 55 kes dicatatkan pada minggu sebelumnya iaitu dari 1 hingga 7 Mei.

Jelasnya, jumlah keseluruhan kes HFMD di negeri ini sehingga 14 Mei lalu adalah sebanyak 1,378 kes iaitu 1,322 kes menunjukkan peningkatan sebanyak 24.7 kali ganda berbanding tempoh yang sama sebanyak 56 kes tahun lalu.

Katanya, sebanyak 95.5 peratus jangkitan penyakit tersebut adalah dalam kalangan kanak-kanak berusia antara 0 hingga enam tahun.

“Daerah Jasin merekodkan wabak paling tinggi iaitu 11 (68.8 peratus) dikuti Melaka Tengah empat (25
peratus) dan satu di Alor Gajah (6.2 peratus).

“Keseluruhannya tadika, taska dan pusat jagaan kanak-kanak merupakan premis tertinggi berlaku wabak HFMD iaitu sebanyak 12 wabak (75 peratus),” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Akmal berkata, setakat ini, sebanyak 12 premis telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berlakunya wabak HFMD di premis tersebut.

Menurutnya, sebanyak 34 premis iaitu 30 melibatkan taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak serta empat rumah persendirian telah diperiksa.

Beliau menegaskan, penutupan premis terbabit dilakukan bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan dan memastikan premis yang terlibat boleh menjalankan pembersihan atau disinfeksi secara menyeluruh.

Jelasnya lagi, semua kes yang dilihat oleh pegawai perubatan perlu dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) agar siasatan dapat dilakukan dan tindakan kawalan dan pencegahan dapat dilakukan. – SM Melaka

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button