Negeri

Lebih 900 wanita di Kedah terima agihan Tabung Sejahtera Wanita – Exco

PENGERUSI Jawatankuasa Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan  Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, 952 wanita yang berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan Kedah 2016 akan menerima sumbangan RM500 seorang daripada Tabung Sejahtera Wanita (TSW) Negeri Kedah, pada hujung bulan ini.

Halimaton Shaadiah berkata, sumbangan secara sekali bayaran itu bertujuan membantu mereka meningkatkan aktiviti ekonomi sekali gus menambah pendapatan keluarga masing-masing.

“Penerima yang berjaya telah disenarai pendek dan dipilih berdasarkan keutamaan iaitu bagi yang berpendapatan paling rendah dan pemohon mestilah terdiri daripada mereka yang meniaga secara kecil-kecilan.

“Sistem kami telah menapis pemohon berumur 18 hingga 65 tahun yang berpendapatan di bawah RM866 (bulanan) dan RM227 (perkapita),” katanya.

Beliau berkata, TSW adalah susulan daripada penubuhan Tabung Khas Wanita (TKW) Negeri Kedah yang telah dilaksanakan pada 2019.

“Sebelum ini dana tabung berkenaan telah disalurkan kepada golongan wanita yang menjaga anak atau suami terlantar sakit.

“Tapi kali ini, kita fokus pula kepada golongan wanita yang berniaga secara kecil-kecilan bagi membantu menambah modal perniagaan mereka,” kata beliau.

Halimaton Shaadiah berkata, daripada 3,477 pemohon yang disaring oleh sistem TKW bagi kategori berkenaan, hanya kuota 952 pemohon terpilih.

“Jumlah keseluruhan permohonan yang diterima untuk agihan tabung itu kali ini adalah sebanyak 16,022 daripada kesemua 36 kawasan (Dewan Undangan Negeri) di seluruh negeri ini,” ujarnya.

Katanya lagi, pelaksanaan bayaran akan dikendalikan oleh Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras DUN dan akan diagihkan mengikut senarai nama yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa TSW. – SUMBER BERNAMA – SM

(Visited 578 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button