Ekonomi

Lazada sertai kempen KPDNHEP, MDEC untuk sokong PKS

LAZADA telah menyertai kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ dan ‘PENJANA Shop Malaysia Online’ yang dianjurkan kerajaan bagi menyokong syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Sehubungan itu, ia telah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menurut kenyataan bersama mereka, kedua-dua kempen ini akan berlangsung serentak di Lazada, masing-masing sehingga 31 Dis dan 30 Sept.

Pengguna akan menerima sehingga RM29 dalam kredit dan baucar untuk pengguna Dompet Lazada, RM8 dalam baucer penghantaran percuma dan diskaun sehingga 70 peratus untuk jenama tempatan popular seperti Bonia, Sembonia, Desamall@Online, MyFishman dan RAMS Home Decor.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lazada Malaysia, Leo Chow berkata platform e-dagang itu telah  menjadi destinasi pilihan bagi usahawan yang mahu berkembang kerana ia mampu mengukuhkan perniagaan mereka.

Lazada mempunyai lebih daripada 320,000 PKS di seluruh negara dengan peningkatan 200 peratus dalam penjual tempatan baharu pada tempoh separuh pertama tahun ini.

“Lazada memandang ke hadapan untuk bekerjasama dengan KPDNHEP dan MDEC bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia melalui inisiatif ‘Beli Barangan Malaysia’ dan ‘PENJANA Shop Malaysia Online’.

“Bersama, kami berada di hadapan rakyat Malaysia dengan memberi ganjaran kepada pembeli dalam talian melalui penjimatan serta insentif untuk menggiatkan semula ekonomi domestik, di samping membolehkan PKS tempatan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang dipercepatkan,” katanya.

Menurut Menteri KPDNHEP Datuk Alexander Nanta Linggi, perintisan perkongsian ‘Beli Barangan Malaysia’ dengan Lazada pada tahun lepas telah menghasilkan peningkatan sebanyak 3,800 peratus dalam sumbangan daripada penjual tempatan di platform berkenaan kepada ekonomi domestik.

Sambutan yang menggalakkan ini telah merangsang kementerian untuk terus melabur dalam memperkasakan penjual tempatan secara dalam talian melalui platform membeli-belah seperti Lazada.

“Pengukuhan perkongsian awam-swasta adalah penting untuk memudahkan transformasi digital perniagaan tempatan terutamanya yang membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” tambahnya.

CEO MDEC Surina Shukri berkata, inisiatif ‘PENJANA Shop Malaysia Online’ akan melengkapkan kempen e-dagang MDEC yang berterusan di kalangan usahawan tempatan.

“Kami akan meneruskan usaha kami untuk mempercepatkan transformasi digital perniagaan Malaysia, dan membantu mereka bersaing di tapak yang sama dengan jenama global seperti yang telah dibuktikan oleh jenama tempatan yang telah berkembang ke antarabangsa melalui program ‘Sell-to-China” Lazada,” katanya. – BERNAMA

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button