Nasional

Peniaga kedai runcit merunggut bekalan minyak masak paket tidak mencukupi

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 12 Julai – Isu bekalan minyak masak paket yang tidak cukup bukan sahaja melanda pasaraya malah ia turut dialami oleh pekedai runcit di kawasan perumahan terutama di Parlimen Tangga Batu dekat sini.

Peniaga kedai runcit lebih terkesan apabila mereka tidak memperoleh bekalan seperti mana yang diminta malah ada ketikanya mereka langsung tidak dapat menjual minyak berkenaan.

Rata-rata peniaga ketika ditemui mendakwa bekalan yang dihantar oleh pengedar sering kali tidak mencukupi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Disebalik kekurangan bekalan namun peniaga tidak mengambil peluang untuk menaikkan harga minyak masak paket sekilogram yang masih dijual pada harga RM2.50.

Seorang peniaga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, Nurulain Jamaluddin berkata, bekalan minyak masak paket yang ditempahnya tidak konsisten dan kadang-kadang dia langsung tidak menerima bekalan itu.

Menurutnya, dia sering menempah sebanyak 10 kotak tetapi pihak pembekal menghantar antara lima hingga tiga kotak sahaja.

“Bukan main payah sekarang ini nak dapat bekalan minyak masak paket. Datang sebanyak lima kotak tak sampai dua hari dah habis.

“Bila mintah tambah pembekal tidak ambil peduli kerana itu kedai saya tidak dapat menjual minyak paket walaupun penduduk di PPR sering merungut dan mereka pula marah saya,” ujarnya di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga di Bukit Rambai, Nurzarifah Idris berkata, kedainya kerap kali terputus bekalan kerana minyak masak paket yang dijual sering kali habis tidak sampai seminggu.

Katanya, dia hanya dibenarkan untuk membuat tempahan sebanyak 30 kotak sebulan dan kadang kala hanya memperoleh antara 10 hingga 20 kotak.

“Kalau setakat 10 hingga 20 kotak tidak sampai tiga hari minyak paket habis dijual. Saya nak mintak tambah pengedarnya langsung tak ambil peduli,” ujarnya.

Katanya, sejak harga minyak botol 5 kilogram (kg) naik sehingga RM42, permintaan pengguna terhadap minyak paket meningkat mendadak.

Seorang lagi peniaga di Bukit Rambai, Azwani Rashid berkata, kedai bapanya hanya mendapat bekalan antara dua hingga tiga kotak sebulan.

Menurutnya, bekalan yang diterimanya memang tidak mencukupi untuk menampung permintaan daripada penduduk setempat yang sudah beralih membeli daripada minyak botol kepada minyak paket.

“Ayah saya pun buntu, minta tambah bekalan, pengedar langsung tidak ambil peduli. Jadi saya jual yang mana dapat. Kalau setakat dua kotak, tidak sampai sehari dah habis dijual,” ujarnya.

(Visited 568 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button