Nasional

Peguam syarie perlu kekalkan integriti, etika dan komited – Raja Muda

 

ARAU, 9 April — Peguam syarie perlu melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan tidak bersikap sambil lewa bagi memastikan setiap kes yang dikendalikan mengambil tempoh yang munasabah untuk diselesaikan, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah peguam syarie juga perlu amanah dan bertanggungjawab membantu mahkamah syariah menyelesaikan kes.

“Amanah yang besar ini memerlukan pengamalan nilai-nilai integriti, etika dan komitmen yang tinggi agar hak klien akan terbela berdasarkan kehendak hukum syarak,” titah baginda ketika merasmikan majlis pentauliahan peguam syarie negeri Perlis di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) Ibrahim Deris.

Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah peguam syarie hendaklah sentiasa menambah ilmu dalam bidang guaman dan perundangan dan tidak statik dengan amalan kebiasaan sahaja.

“Hal ini penting supaya peguam syarie dapat memberi khidmat guaman berdasarkan hukum syarak dan peruntukan undang-undang yang tepat bagi menjamin keadilan kepada semua pihak,” titah baginda.

Pada majlis tersebut seramai 69 peguam syarie ditauliahkan pada majlis anjuran JKSNPs itu.

— BERNAMA

 

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button