
Pengusaha Spa Disimbah Asid, Tiga Suspek Termasuk Dua Wanita Dikenal Pasti
POLIS telah mengenal pasti tiga individu, termasuk dua wanita, yang dipercayai terbabit dalam kejadian simbah asid ke atas seorang pengusaha spa di Beris Kubur Besar, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya telah memperoleh beberapa petunjuk baharu bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Hari ini kita sudah kenal pasti suspek. Kita juga telah mengambil keterangan daripada ahli keluarga mangsa serta beberapa saksi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek, namun salah seorang daripada mereka dipercayai suspek utama, telah menghantar mesej melalui WhatsApp kepada mangsa sebelum kejadian berlaku.
Tambah beliau, pihak polis percaya kesemua suspek masih berada di sekitar Kelantan dan usaha mengesan mereka kini giat dijalankan. Motif serangan bagaimanapun masih dalam siasatan.
Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu, mangsa, Nor Faziera Muda, 27, mengalami kecederaan parah dan terpaksa menjalani pembedahan selama enam jam selepas disimbah asid oleh tiga individu berpakaian purdah.
Difahamkan, suspek menyamar sebagai pelanggan dan membuat janji temu untuk sesi urutan selama tiga jam di spa dan salun milik mangsa.
Sebaik sahaja mangsa membuka pintu premis, beliau disimbah dengan cecair dipercayai asid yang diletakkan dalam termos, sebelum kesemua suspek melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu.
Tragisnya, kejadian turut disaksikan anak perempuan mangsa yang berusia tujuh tahun.