Agama

Pengurusan hal ehwal Islam bukan hanya aspek teknikal – Raja Muda Perlis

KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa Pengurusan Hal Ehwal Islam tidak sekadar memenuhi aspek teknikal dan pentadbiran semata, tetapi juga menuntut keutuhan akhlak, ketelusan, dan keberkesanan dalam menyampaikan manfaat kepada umat.

Oleh itu, Baginda menyeru seluruh seluruh warga Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk terus menjadikan prinsip ‘maqasid syariah’ sebagai panduan utama dalam setiap langkah, dasar, dan keputusan yang diambil.

‘Kita perlu memastikan bahawa pengurusan Hal Ehwal Islam perlu sentiasa memberi impak yang tinggi kepada Ummah. Seiring dengan objektif ini, keberhasilan yang dicapai bukan hanya diukur melalui angka atau laporan semata-mata, tetapi melalui kesan positif yang dirasai oleh rakyat khususnya umat Islam’.

Menurut kenyataan MAIPs, Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat mempengerusikan Persidangan Mesyuarat MAIPs yang pertama bagi tahun 2025 di Dewan Kuliyyah MAIPs Behor Temak, Kangar baru-baru ini.

Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menerima persembahan ‘Laporan Prestasi dan Pencapaian MAIPs Bagi Tahun 2024’ yang dibentangkan dalam Persidangan kali ini.

Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Setiap inisiatif yang MAIPs laksana dan rencanakan mestilah menjurus kepada membela asnaf, membangunkan ummah, dan menyumbang kepada kesejahteraan sejagat, sebagaimana yang diamanahkan oleh ‘syariah Islamiah’’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menekankan bahawa usaha ke arah pengurusan berprestasi tinggi memerlukan komitmen yang berterusan terhadap inovasi dan profesionalisme. Dalam dunia yang kian mencabar ini, kita perlu bijak memanfaatkan teknologi, meningkatkan kecekapan, dan mengukuhkan integriti supaya MAIPs terus relevan dan menjadi model kepada institusi Islam yang lain.

Baginda juga berbangga melihat semangat kebersamaan dalam kalangan Ahli dan Pekhidmat Majlis yang bersatu hati dan fikrah dalam memacu Visi serta Misi MAIPs selama ini.

Semoga sinergi ini terus berkekalan dan menjadi asas kukuh kepada kejayaan organisasi ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button