
Pengurus kedai ditipu lebih RM300,000
JOHOR BAHRU – Seorang pengurus kedai alat ganti kenderaan tidak lena tidur apabila wang pelaburan yang juga hasil simpanannya berjumlah RM397,815 lesap akibat tertipu dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, lelaki berusia 46 tahun itu pada mulanya dihubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp yang merupakan modus operandi yang digunakan kononnya tersilap hantar mesej.
Katanya, mangsa telah berhubung dengan suspek yang menawarkan pelaburan melalui aplikasi GRS dengan menjanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus dalam masa singkat dengan modal permulaan serendah RM515.
“Terpedaya dengan janji-janji manis tersebut, mangsa telah membuat 15 transaksi pembayaran kepada tiga akaun yang berbeza sehingga mencecah RM397,815.
“Suspek kemudiannya menghantar tangkap layar palsu yang menunjukkan keuntungan yang diterima mangsa sebanyak RM623,430.
“Bagaimanapun, apabila mangsa ingin mengeluarkan keuntungan tersebut, suspek meminta mangsa membuat pembayaran tambahan sebanyak RM218,000 sebagai proses pengeluaran. Mangsa menyedari dirinya telah ditipu dan terus membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.