NasionalNegeri

Kawal gula, tekanan darah bendung masalah buah pinggang – Raja Muda Perlis

Kawal gula dalam darah dan juga tahap tekanan darah tinggi, yakinlah kita akan dapat membendung masalah buah pinggang.

Jika kita semua dapat mengawal kedua-dua penyakit ini, di masa hadapan kita Insyaallah juga akan dapat selamatkan negeri Perlis ini daripada terus dibanjiri dengan masalah buah pinggang.

 

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Khas bertemakan ‘Bersedia Untuk Sebarang Kemungkinan, Melindungi Golongan Rentan’ sempena Hari Buah Pinggang Sedunia.

Buah pinggang adalah organ pertama yang menerima darah serta merupakan sistem urinari yang berfungsi menapis bahan-bahan tertentu daripada darah untuk dibuang melalui air kencing.

Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar bersama-sama dengan MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Hadir sama mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah Pengarah JKN, Dr Ismuni Bohari dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Ketika singgah di Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Dialisis HTF-MAIPs Kangar, Ketua Jabatan Perubatan HTF, Prof Datuk Seri Dr Paras Doshi memaklumkan bahawa
walaupun kita semua amat berbangga HTF memiliki bangunan wakaf yang memiliki kemudahan terbaik dan mesin dialisis yang banyak sekali iaitu 40 buah, namun begitu ia juga menunjukkan bahawa ‘beban’ masalah buah pinggang di negeri Perlis ini juga adalah tinggi.

Tambah beliau, ‘Walaupun kita amat bertuah memiliki banyak mesin dialisis, tetapi kita juga perlu ingat bahawa ini merupakan masalah yang terpendam di negeri ini.

Pastikanlah ibu bapa dan ahli keluarga kita tersayang serta jiran tetangga kita sentiasa mendapatkan saringan kesihatan terutama sekali untuk memantau masalah buah pinggang dan kesihatan diri masing-masing’.

Sempena program tersebut juga Raja Muda selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih bagi menyampaikan agihan sumbangan zakat MAIPs kepada Shahrul Sabu, 37,di Kampung Pondok; Saayah Manah, 79 di Kampung Kechor; dan Mazlan Su, 60 di Kampung Behor Empiang yang kesemuanya menerima RM700 daripada Baginda.

Sementara itu, dalam majlis berasingan di perkarangan Dewan Kulliah MAIPs Behor Temak Kangar, pihak MAIPs telah juga melaksanakan simbolik penyerahan sumbangan kotak makanan “Ramadan Relief” oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama tajaan korporat dan agensi yang diwakili oleh Pemangku Ketua Pengarahnya Haji Awang @ Musran Tawil yang diserahkan kepada Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Hazman Hassan serta disertai sama Ketua Bahagian Sumber Pengurusan Sumber Dana YaPEIM, Mohd Rozaidi Hamad.

Sebanyak 350 sumbangan kotak makanan bernilai RM200 setiap satu bersama-sama sumbangan beras dan daging segar keluaran YaPEIM diagihkan kepada asnaf di 102 buah kariah masjid di seluruh Perlis dengan kerjasama MAIPs. – SM

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button