Nasional

Keluar pekeliling penjawat awam perlu simpan telefon bimbit sewaktu bekerja – MPMMK

KUALA LUMPUR – Isu penggunaan telefon bimbit membabitkan penjawat awam bukan perkara baharu sebaliknya isu itu terus menjadi bualan dan rungutan orang ramai di negara ini.

Rata-rata orang ramai berasa tidak berpuas hati dengan sikap segelintir penjawat awam yang ‘mengutamakan’ telefon bimbit berbanding pelanggan yang berurusan dengan mereka.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, sudah sampai masanya Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan pekeliling bagi melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan penjawat awam ketika waktu kerja terutama bagi mereka yang sentiasa berurusan dengan pelanggan.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana penggunaan teknologi itu ketika ini semakin disalahgunakan dan boleh dikatakan hampir 24 jam setiap hari berdamping dengan pemiliknya.

Menurutnya, akibat penggunaan telefon bimbit tanpa had masa, ia boleh menjejaskan produktiviti sekali gus membentuk satu tanggapan negatif dalam kalangan orang yang berurusan dengan pekerja berkenaan.

“Pekerja merupakan aset terpenting dalam sesebuah organisasi yang berperanan menentukan hala tuju serta matlamat organisasi itu terlaksana dan tercapai.

“Apabila seseorang pekerja menyertai sesebuah organisasi, individu itu secara automatik bersetuju taat setia dan menyumbang keringat demi mencapai matlamat organisasi.

“Oleh itu, pekerja perlu memberi sepenuh komitmen terhadap organisasi, seterusnya meningkatkan produktiviti menerusi tanggungjawab dipikul, jika sewaktu bekerja pun menggunakan telefon bimbit, ia pastinya boleh menjejaskan produktiviti mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Syed Mohammad Faiz berkata, kebiasaannya, penggunaan telefon bimbit di tempat kerja bukan untuk hal-hal yang berkaitan kerja tetapi lebih kepada bermain permainan atau memeriksa mesej peribadi.

Beliau berkata, tabiat ‘melekat’ dengan telefon bimbit boleh memberi kesan tidak baik dan membahayakan kesihatan.

“Paparan radiasi telefon bimbit terbukti memiliki kaitan dengan gangguan tidur, masalah jumlah sperma yang rendah sehinggalah tumor.

“Itu dinyatakan oleh Pengarah Kaji Selidik Alam Sekitar dan Toksikologi di Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat, Devra Lee Davis bahawa radiasi alat elektronik atau khususnya gajet mampu menjadi punca kepada banyak masalah kesihatan,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu mempersoalkan bagaimana seseorang penjawat awam ingin membuat kerja yang produktif jika sentiasa membawa dan menggunakan telefon bimbit bersama semasa waktu berkerja.

“Jadi, MPMMK berharap cadangan ini diberikan penekanan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Jika ada urusan kecemasan pun, mereka boleh menggunakan telefon pejabat untuk berurusan.

“Mereka (penjawat awam) boleh menggunakan telefon bimbit pada waktu rehat bukan langsung tidak boleh menggunakannya. Apabila sambung kerja, simpan semula gajet itu,” katanya.

(Visited 2,280 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button