Nasional

KPDN beri jaminan teruskan pemantauan ke atas kestabilan bekalan gula

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan akan meneruskan pemantauan ke atas keberadaan dan kestabilan bekalan gula dalam Negara menerusi pelaksanaan OPS MANIS.

OPS MANIS yang dilancarkan pada 3 Mei 2023 lalu dan diteruskan dengan pelaksanaan OPS MANIS 2.0 pada 6 Jun 2023 sehingga 31 Disember 2023 antara lain bertujuan bagi memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengelak pembelian panik oleh pengguna yang boleh menyebabkan gangguan ke atas bekalan bahan itu di pasaran.

Kerajaan melalui KPDN telah bersetuju untuk membenarkan dua (2) syarikat pengeluar gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan Gula Putih Bertapis Jernih di mana harganya tidak dikawal sebaliknya ditentukan oleh pasaran bermula pada 25 Mei 2023.

Walaupun MSM dan CSR dibenarkan mengeluarkan Gula Jernih, Gula Rakyat (kasar dan halus) sedia ada masih tetap dikeluarkan pada kadar kuantiti yang diperlukan untuk kegunaan rakyat.

Bagi memastikan bekalan Gula  rakyat (kasar dan halus) mencukupi dan tidak terjejas dengan pengeluaran Gula Jernih ini, MSM dan CSR telah diarahkan melalui Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peruntukan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang berkuatkuasa 1 Jun 2023 supaya memastikan jumlah minimum   pengeluaran dan pengedaran Gula Rakyat (kasar dan halus) hendaklah dikekalkan sebanyak 42,000 MT sebulan. Daripada jumlah tersebut, berdasarkan kapasiti kilang masing-masing, MSM perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya 24,000 MT manakala CSR pula 18,000 MT bagi menampung keperluan rakyat termasuk penjaja dan peniaga kecil.

Di samping itu, Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan sama turut dikeluarkan kepada pemborong utama dan peruncit modern trade kedua-dua pengilang gula bagi memastikan gula pasir putih bertapis kasar dan halus yang diterima daripada pengilang diedarkan kepada pelanggan dengan segera bagi menjamin keberadaan bekalan gula di pasaran dan tidak mencetuskan suasana panik di kalangan rakyat.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS MANIS dan OPS MANIS 2.0 bermula 3 Mei 2023 sehingga 17 Oktober 2023, sebanyak 15,208 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh Negara manakala sebanyak 433 aduan telah  diterima dalam tempoh yang sama. Daripada jumlah itu, sebanyak 46 kes telah dihasilkan melibatkan kesalahan seperti mengenakan syarat penjualan yang tidak sah, menjual melebihi harga kawalan, membungkus gula tanpa  kebenaran Pengawal Bekalan dan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga jualan gula.

KPDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat di dalam aktiviti  penyelewengan bekalan gula termasuk menjual gula putih bertapis kasar dan halus secara bersyarat, aktiviti  menyorok bekalan gula serta menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan.

Pengguna juga disaran untuk terus berhemah di dalam menggunakan gula dalam kehidupan seharian mereka kerana penggunaan gula secara berlebihan boleh menjejaskan kesihatan pengguna itu sendiri.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga atau aktiviti penyelewengan barang kawalan terutamanya gula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800;
iv. E-mel [email protected];

v. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN;
vi. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245,

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button