Politik

PKR kian huru-hara, kusutkan kerajaan PH

Analisis

HURU-HARA PKR sekarang ini.

Apa sudah jadi dengan parti pemilik kerusi Parlimen terbesar kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini?

Menambah luka parti itu lagi bila mana kenyataan terbaharu menyusul hari ini daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu yang sebulat suara menolak pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR. Bahkan, mereka mahu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera memohon maaf.

Tiga daripada 20 Ahli MPT berkenaan ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta dua Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.

Pergeseran Mohamed Azmin dan Anwar yang begitu ketara sebelum ini, disusuli kenyataan terbaharu hari ini kelihatan sudah tidak mampu disembunyikan lagi. Tidak boleh diselamatkan.

Adakah kesannya kepada kerajaan PH? Jangan cakap pula ini hal parti, tidak boleh dicampur-adukkan dengan urusan kementerian-kementerian yang diketuai pemimpin-pemimpin dari PKR ini.

Jika sudah bergaduh besar dalam parti, takkanlah tindak tanduk itu tidak menjangkit ke dalam kerajaan?

Api permusuhan bolehkah diasing-asingkan dalam fikiran watak-watak berkenaan? Tidak terjejaskah kerjasama antara kementerian-kementerian untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat?

Rakyat Malaysia, apatah lagi Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pasti maklum PKR mempunyai wakil teramai dalam Kabinet Malaysia dengan tujuh orang menteri dan tujuh timbalan menteri.

Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Saifuddin Abdullah, Baru Bian dan Dr Xavier Jayakumar menyertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamed Azmin dan Zuraida dalam Kabinet.

Saifuddin Nasution adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Xavier (Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli) manakala Baru Bian dan Saifuddin masing-masing adalah Menteri Kerja Raya dan Menteri Luar Negeri.

Sementara Timbalan-Timbalan Menteri yang dilantik daripada PKR adalah Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (Kementerian Industri Utama), Sim Tze Tzin (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani), Fuziah Salleh (Jabatan Perdana Menteri – Agama), R. Sivarasa (Kementerian Pembangunan Luar Bandar), Dr Lee Boon Chye (Kementerian Kesihatan), Bakhtiar Wan Chik (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dan Datuk Kamarudin Jaffar (Kementerian Pengangkutan).

Agaknya macam manalah ya kerajaan PH berfungsi hari ini?

Patutlah situasinya berkecamuk sehingga pengundi di Tanjung Piai tempoh hari, 16 November seolah-olah memberi tunjuk ajar berguna kepada PH dengan mengetepikan calon parti itu dengan kekalahan besar 15,000 undi.

Apa pun, beban kini berat di bahu Anwar, dengan label `bakal Perdana Menteri ke-8’ yang sedang dijunjungnya.

Jika parti sendiri pun kelam-kelibut, macam mana lah Anwar mahu mendapatkan `angka terbaik’ untuk memastikan sejumlah ahli Parlimen menyokongnya melangkah masuk Putrajaya? Wallahualam.

  • SUARA MERDEKA

(Visited 101 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button