Politik

Pengundi Muda Kian Jauh Dari Politik, PRU16 Cabaran Besar PKR

NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mendedahkan bahawa sebanyak 68 peratus pengundi muda kini tidak menunjukkan minat terhadap politik, berdasarkan dapatan kaji selidik semasa.

Menurutnya, situasi ini perlu diberi perhatian serius menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dan PKR perlu lebih proaktif dalam mendekati golongan tersebut melalui pendekatan yang lebih dekat dengan jiwa anak muda.

“Anak muda tidak lagi tertarik dengan retorik politik semata-mata. Mereka lebih cenderung menyokong pemimpin atau parti yang memahami dan menyentuh isu kehidupan harian mereka seperti pekerjaan, kos sara hidup dan perumahan,” katanya.

Tambah beliau, kecenderungan pengundi muda juga lebih dipengaruhi oleh rakan sebaya berbanding pandangan ibu bapa, menandakan berlakunya peralihan dalam cara generasi muda membuat keputusan politik.

Dalam pada itu, Nurul Izzah yang bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2025–2028 turut menegaskan bahawa keutamaan beliau kini adalah memperkukuh akar umbi dan persiapan menghadapi PRU akan datang serta beberapa pilihan raya negeri (PRN).

“PKR perlu kembali kepada rakyat, khususnya anak muda. Kita kena turun ke lapangan, anjur program yang relevan dan bina semula kepercayaan dengan keikhlasan,” jelasnya lagi.

Langkah strategik ini dijangka menjadi antara tumpuan utama PKR dalam memperkasakan jentera parti agar lebih bersedia menghadapi cabaran politik yang semakin kompleks dan dinamik.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button