Politik

Pengundi muda bangga dapat tunai tanggungjawab

PENGUNDI muda yang pertama kali mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini melahirkan rasa teruja dapat melaksanakan tanggungjawab mereka.

Mereka menyifatkan peluang yang diberikan untuk golongan tersebut mengundi secara automatik itu sangat penting kerana dapat membantu menentukan kerajaan negeri Johor yang bakal dibentuk.

Muhd. Akil Afiq

Seorang pelajar dari Politeknik Port Dickson, Muhd. Akil Afiq, 20, berkata, pengalaman pertama kali keluar mengundi benar-benar sangat mengujakan kerana sebelum ini dia hanya melihat ibu bapanya menjalankan tanggungjawab itu setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Menurutnya, dia tidak merasa gentar dan turut mengakui proses pengundian adalah mudah serta tidak menyusahkan.

“Saya rasa bangga dapat menjalankan tanggungjawab dalam menentukan kerajaan negeri yang akan dibentuk untuk kemakmuran rakyat,” ujarnya ketika ditemui selepas membuang undi di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 1 di sini, hari ini.

Bagi pelajar jurusan Diploma Kuliah Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Zeti Ayub, 21, berkata, walaupun pertama kali mengundi dia tidak merasa gementar dan gugup.

Zeti Ayub

Sebaliknya, katanya, itu adalah pengalaman paling berharga dialaminya kerana sebelum ini hanya menemani ibubapanya menunaikan tanggungjawab tersebut.

“Saya sebenarnya bangga dapat menunaikan tanggungjawab paling penting dalam menentukan kerajaan yang akan dibentuk di Johor serta memilih pemimpin yang berwibawa,” ujarnya yang menetap di Kampung Parit Besar.

Bagi seorang lagi pengundi muda, Syafiqah Lailah Mohd. Eddy Amir, 18, pula berkata, dia merasa bangga dapat membuang undi di SK Sultan Ismail 1.

Katanya, dia kini merasakan sebagai golongan muda, peranan mereka kini diperlukan dalam menentukan kerajaan baru yang akan dipilih di Johor.

“Pengalaman paling berharga dan barulah saya tahu mengundi ini sebenarnya sangat mudah. Saya menyeru lebih ramai lagi golongan seperti saya untuk keluar mengundi,” ujarnya.

Untuk rekod, UNDI18 menjelaskan PRN Johor yang pertama membenarkan pemilih dalam kalangan umur 18 hingga 20 tahun untuk menjadi pengundi selepas diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu.

Itu menandakan penambahan hampir 750,000 pengundi baharu, termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun. Ini adalah penambahan hampir 30 peratus kepada jumlah pengundi di Johor sedia ada. – SM

(Visited 400 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button